SHAH ALAM - Tular di TikTok memaparkan sisi kreatif seorang pemuda yang membuat 'tembok' penghalang banjir daripada memasuki pekarangan rumah dengan hanya bermodalkan kayu buruk dan plastisin mainan anak-anak.
Petugas radio swasta, Mohamad Fariswan Mohd Ariffin, 31, berkata, idea tersebut timbul apabila melihat kepada keadaan air di kawasan perumahan, hujan lebat yang belum reda dan bahannya memang tersedia di dalam rumah.
Menurut bapa kepada dua cahaya mata itu, semasa hari kedua banjir buruk masih melanda Kota Bharu, Kelantan, dia terus mengambil keputusan untuk membuat 'tembok' sementara.
"Kawasan taman perumahan saya di Teluk Panji bukan jenis air termenung. Jadi, saya dah tahu paras air akan naik kalau hujan. Pada mulanya saya buat tak tahu, tiba-tiba air masuk melalui pintu.
"Banjir di kawasan perumahan ini tak teruk sangat sebab saliran longkang memang okay, cuma tak mampu menampung lebihan air banjir sebab itulah melimpah sampai ke rumah," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Hantaran Mohamad Fariswan di TikTok setakat ini mendapat 1.5 juta tontonan, lebih 55,000 tanda suka dan 19,000 perkongsian, malah turut mencuit hati warga maya.
Ada yang menganggap ia idea bernas bagi menghalang kemasukan air ke dalam rumah buat sementara waktu, ada juga memberikan pandangan atau alternatif lebih baik.
Sementara itu, Mohamad Fariswan memaklumkan, dia juga mengambil inspirasi dan ilmu daripada orang-orang lama yang membuat tembok penghalang banjir menggunakan guni pasir atau plastik di sekeliling rumah.
"Idea ini pun dah lama orang guna sebenarnya sebab itu saya terfikir nak buat.
"Tetapi, air di kawasan perumahan saya cepat surut dalam setengah jam sahaja, cuma kalau hujan memang akan naik lagi," ujar pemuda berkenaan.