Tidak ada pilihan selain guna bahasa kebangsaan

Iklan
Gambar hiasan. Foto Bernama

SELARAS dengan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan menjelaskan bahawa bahasa Melayu adalah bahasa rasmi yang tidak boleh dipertikai fungsi dan peranannya sebagai bahasa kebangsaan.

Kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dimantapkan dengan Akta Bahasa Kebangsaan 1967.

Iklan
Iklan

Justeru, tidak ada pilihan untuk tidak menggunakan bahasa Persekutuan ini pada papan tanda atau dalam urusan di negara ini.

Sementara mengikut Undang-Undang Kecil Iklan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 1982, semua iklan hendaklah dalam bahasa kebangsaan dan penggunaan bahasa asing dalam satu papan tanda atau iklan yang sama tidak dilarang sama sekali.

Iklan

Isu papan tanda dan iklan berbangkit selepas Menteri Pelancongan, Datuk Seri Tiong King Sing dalam kenyataannya mempertikai tindakan penguatkuasaan mengenai peraturan papan tanda dwibahasa oleh DBKL.

Beliau mendakwa, tindakan itu mengakibatkan tindak balas emosi dan melampaui batas sehingga menimbulkan rasa tidak puas hati, selain wujud persepsi negatif dalam kalangan pelancong yang mempersoalkan tindakan itu.

Iklan

Langkah memartabatkan bahasa kebangsaan ini bukan satu langkah ke belakang dan ia tiada kaitan dengan sentimen perkauman atau menafikan bahasa asing.

Pelancong untuk memilih destinasi bukan bergantung kepada papan tanda tetapi faktor seperti keselamatan, keramahan penduduk, produk pelancongan dan makanan.

Sebagai contoh, Thailand menggunakan bahasa Thai di semua papan tandanya tetapi pelancong tetap ramai berkunjung ke negara tersebut.

Negara-negara maju seperti Amerika Syarikat (AS), Korea, Jepun dan Perancis pula sangat mengagungkan bahasa kebangsaan mereka dan boleh dikatakan hampir semua papan tanda tidak menggunakan bahasa asing.

Ia tidak pula menjadi penghalang kepada negara tersebut untuk terkenal di mata dunia, malah sektor pelancongannya semakin rancak dengan kemasukan pelancong dari pelbagai negara.

Kalau bukan kita sendiri yang memartabatkan bahasa kebangsaan, siapa lagi yang diharapkan?

Memetik kenyataan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, kita sudah merdeka lebih setengah abad dan tidak sewajarnya kita masih terperangkap dalam retorik pertikaian bahasa kerana ia sudah jelas bahasa Melayu adalah bahasa rasmi Malaysia.