JIKA kita mencari makanan dan minuman yang halal, begitulah sepatutnya dibuat apabila ia melibatkan ubat-ubatan.
Ini kerana ia juga masuk ke dalam tubuh dan menjadi darah daging kita.
Apalagi andai kita memilih produk suplemen memandangkan ia merupakan makanan tambahan untuk melengkapkan gizi badan seseorang.
Lantaran itu, Presiden Persatuan Farmasi Malaysia, Profesor Amrahi Buang menggesa masyarakat untuk menggunakan hak pengguna sepenuhnya dalam pemilihan ubat-ubatan dan suplemen halal.
"Itu soalan pertama perlu dilontarkan oleh kita sebagai pesakit, orang awam, seorang Muslim dan pengguna kerana ia adalah hak kita yang menjadi tanggungjawab masing-masing. Perkara itu perlu ditekankan.
"Doktor, ahli farmasi dan seumpamanya bertanggungjawab untuk memberikan penjelasan lanjut serta memaklumkan alternatif lain bila mereka ditanyakan oleh pesakit atau orang ramai sekiranya ubat yang disyorkan itu tidak halal," katanya ketika ditemui Sinar Islam Plus di ibu negara baru-baru ini.
Amrahi menambah, ada sebab mengapa ALLAH SWT menimpakan kesakitan dan menarik nikmat kesihatan seseorang iaitu kerana dosa dilakukan ataupun ia merupakan ujian buat hamba-NYA.
Apa jua alasannya, beliau yang berpengalaman lebih tiga dekad dalam bidang farmaseutikal menegaskan agar kita tetap mencari penawar halal.
"Dulu apabila sakit, orang berpandangan, semua ubat boleh diambil walaupun tidak halal. Mengertilah, itu adalah paradigma yang lama.
Halal untuk semua
Begitu signifikannya pertanyaan tentang status halal pada ubat-ubatan dan suplemen itu kerana ia sebenarnya sangat berkait rapat dengan pola permintaan di pasaran.
Masakan tidak, katanya, industri wujud disebabkan oleh pengguna dan permintaan daripada mereka.
Andai ada permintaan, semakin banyak pengeluar akan berlumba-lumba untuk mendapatkan persijilan halal bagi produk farmaseutikal dan kita akan mempunyai alternatif untuk buat pilihan, ungkapnya.
"Apatah lagi halal tidak melibatkan umat Islam sahaja, tetapi semua orang kerana ia bukan semata-mata halal dari sudut syariahnya, tetapi produk itu juga tayyib iaitu selamat, berkesan dan terjamin dari segi kualitinya.
"Ini kerana mana-mana produk farmaseutikal termasuk ubat-ubatan dan suplemen perlu didaftarkan di bawah Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) yang sudah diteliti tiga elemen tadi iaitu kualiti, keselamatan dan keberkesanan, di samping mempunyai nombor rujukan untuk memudahkan pengguna menyemaknya.
"Pada masa sama juga perlu memenuhi beberapa piawaian seperti Amalan Pengilangan yang Baik (GMP) sebelum membuat permohonan sijil halal," terangnya.
Mantan Timbalan Pengarah Ikhtisas Pusat Perubatan Universiti Malaya itu menggesa masyarakat untuk terus bertanyakan kepada ahli farmasi atau pakar perubatan.
"Mereka boleh semak semula kandungannya jika ubat atau suplemen itu didaftarkan.
"Kita juga boleh buat carian sendiri tentang maklumat syarikat yang mengeluarkan produk itu, selain menyemak status halalnya menerusi aplikasi Verify Halal yang dibangunkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim)," tuturnya.
Mengulas tentang kurangnya kesedaran orang ramai dalam mendapatkan ubat-ubatan dan suplemen halal, Amrahi berpandangan, usaha itu perlu dipergiatkan kepada orang ramai terutamanya menerusi media.
Apatah lagi pihak industri tertakluk kepada Akta Ubat (Iklan dan Penjualan) 1956 (Disemak 1983) dan Peraturan-Peraturan Lembaga Iklan Ubat 1976.
"Bagi saya, perkara ini sudah menjadi fardu ain, bukan fardu kifayah lagi kerana ia penting untuk seluruh masyarakat.
"Justeru, pentingnya orang ramai diberi kesedaran dan tekanan tentang hak mereka untuk mendapatkan ubat mahupun suplemen halal," katanya.
ANEKDOT
Konteks pengubatan dalam Islam
Umat Islam harus memahami prinsip-prinsip berikut:
1. Kuasa penyembuh bagi suatu penyakit itu adalah kekuasaan ALLAH SWT.
2. Kita dikehendaki berikhtiar untuk berubat.
3. Cara yang digunakan mestilah tidak bertentangan dengan prinsip Islam seperti guna ilmu hitam atau kaedah lain yang ditegah ALLAH.
4. Bahan-bahan ubat-ubatan mesti sesuai dengan Islam seperti suci, tidak bernajis atau dari najis kecuali dalam keadaan terpaksa.
5. Menjaga diri daripada terkena penyakit adalah lebih baik daripada mengubat. Bagaimanapun, ubat-ubatan halal perlu menepati ciri-ciri berikut:
(a) Bukan terdiri atau mengandungi bahan daripada haiwan yang dilarang untuk umat Islam menggunakannya, memakannya atau tidak disembelih mengikut syarak.
(b) Tidak mengandungi bahan yang dihukumkan sebagai najis mengikut hukum syarak. (c) Tidak disedia, diproses, dikilangkan atau disimpan dengan menggunakan apa-apa alat yang tidak bebas dari bahan-bahan najis mengikut hukum syarak.
(d) Apabila menyedia, memproses, mengilang atau menyimpan, ia tidaklah bersentuhan atau berdekatan dengan apa-apa bahan yang tidak memenuhi perenggan (a), (b) atau (c) atau apa-apa bahan yang dihukum sebagai najis mengikut syarak.
(e) Tidaklah, apabila digunakan dengan sengaja, boleh mendatangkan kesan-kesan yang boleh membahayakan.
*Sumber: www.islam.gov.my