GOPENG - Bimbang gagal ujian saringan air kencing, seorang pemandu bas melarikan diri meninggalkan 11 penumpangnya dalam pemeriksaan Op Bersepadu di Hentian Rehat Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Gopeng di sini pada Khamis.
Difahamkan bas ekspres berkenaan dalam perjalanan dari Terminal Bersepadu Selatan, Kuala Lumpur ke Terminal Bas Sungai Nibong, Pulau Pinang ditahan sekitar jam 10.30 malam untuk pemeriksaan.
Lelaki terbabit bertindak berhenti tepi jalan dan meninggalkan kenderaannya sebelum sempat diperiksa oleh pegawai penguat kuasa sekali gus menyebabkan kesesakan di laluan masuk hentian tersebut.
Pemeriksaan lanjut polis menemui ‘dapur’ membakar dadah jenis syabu atau dikenali sebagai bong dipercayai milik lelaki tersebut dalam beg di tempat duduk pemandu.
Sementara itu, Pengarah Keselamatan Negeri Perak, Mohd Zawawi Zakaria berkata, kes pemandu bas yang dipercayai terlibat dengan penyalahgunaan dadah terbabit akan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
"Tujuan operasi ini adalah untuk memberi perhatian dan menjalankan pemantauan secara berterusan ke atas semua jenis kenderaan terutama kenderaan perdagangan agar sentiasa mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya yang telah ditetapkan.
"Dalam operasi itu, pelbagai kesalahan berjaya dikesan antaranya tiada lesen memandu, kesalahan nombor pendaftaran kenderaan dan lain -lain yang telah dikenakan tindakan saman," katanya kepada pemberita di sini.
Hadir sama, Pemangku Ketua Polis Perak, Zulkafli Sariaat; Pengarah Jabatan Alam Sekitar, Datuk Dr Mohammad Ezanni Mat Salleh dan Pegawai Daerah Kampar, Nazrul Fazami Mohamad.
Menurut beliau, seramai 144 pegawai dan anggota terlibat dalam Op Bersepadu yang diketuai Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak itu.
"Op bermula jam 8.30 malam hingga 12 tengah malam melibatkan agensi daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Alam Sekitar (JAS), PLUS Malaysia Berhad dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).
"Selain itu, Jabatan Imigresen Malaysia, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Puspakom turut terlibat," katanya.
Sumber polis memaklumkan, sebanyak 61 saman dan tujuh notis JPJ dikeluarkan atas pelbagai kesalahan dalam pemeriksaan melibatkan 145 lori, enam van dan empat bas.