KUALA LUMPUR - Jawatankuasa Kebudayaan & Penerangan ASEAN (ASEAN-COCI) kali ke-59 sebulat suara meluluskan permohonan Kementerian Komunikasi Malaysia bagi dana tiga Projek Sektor Budaya & Komunikasi bernilai RM520,000 melalui tiga agensi di bawah kementerian tersebut.
Tiga agensi tersebut ialah Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Radio Televisyen Malaysia (RTM).
Delegasi Malaysia yang menghadiri mesyuarat tersebut diketuai oleh Timbalan Ketua Setiausaha-Komunikasi Strategik & Industri Kreatif, Kementerian Komunikasi, Nik Kamaruzaman Nik Husin, Ketua Pengarah IPPTAR,Roslan Ariffin, Setiausaha Bahagian, Perhubungan Antarabangsa Kementerian Kebudayaan, Dr. Christina Yeo Ken Yin dan beberapa pegawai Kementerian Komunikasi, Kementerian Kebudayaan, IPPTAR, RTM dan SKMM.
Menurut, Roslan, IPPR menyambut baik pendirian positif jawatankuasa ASEAN-COCI yang bersidang di Hotel Sunway Phnom Penh, di Kemboja, pada Khamis.
"IPPTAR sebagai pusat sehenti latihan dalam bidang penyiaran dan komunikasi, saya mencadangkan kertas kerja bertajuk ‘Seminar Pembangunan Modul Latihan Memerangi Berita Palsu ASEAN 2025 (KLACFN 2025) dengan anggaran kos berjumlah RM210,000 (USD47,061).
"Penganjuran seminar seumpama ini penting agar pemain dalam industri media dan penyiaran semua negara anggota ASEAN mendapat manfaat dan dapat menghasilkan modul yang boleh digunapakai oleh semua pihak,” katanya.
Jelas beliau lagi, seminar yang bakal diadakan ini membabitkan pegawai latihan kepada pengamal media ASEAN yang dijadualkan akan diadakan pada bulan Oktober 2025.
Roslan berkata, seminar empat hari itu akan berlangsung di Lembah Klang bakal melibatkan 200 peserta terdiri daripada pegawai-pegawai latihan komunikasi dan media ASEAN khususnya peserta dari Malaysia.
Selain IPPTAR, SKMM pula membentangkan kertas kerja bertajuk ‘Panduan Keselamatan dan Tanggungjawab Penggunaan Media Sosial Untuk ASEAN’ dengan kos RM178, 000 (USD39,879), manakala RTM pula membentangkan kertas kerja bertajuk ‘Colour of ASEAN’ (Siri 3) dengan kos sebanyak RM133,000 (USD30,000). Kos keseluruhan bagi ketiga-tiga projek ini ialah RM520,000.
Untuk rekod, sempena mesyuarat ASEAN-COCI kali ini, sebanyak 11 kertas cadangan telah dibentangkan oleh empat buah negara ASEAN yang berminat mengadakan projek menggunakan dana ASEAN-COCI, termasuklah tiga projek dari Malaysia.
Semua cadangan projek ini diusulkan oleh wakil setiap negara dan diangkat kepada mesyuarat tertinggi iaitu Mesyuarat Jawatankuasa ASEAN Mengenai Kebudayaan dan Penerangan kali ke-59, ASEAN-COCI pada hari ini untuk dipertimbangkan sama ada diluluskan atau sebaliknya.
10 negara menghadiri mesyuarat ini termasuk Indonesia (atas talian), manakala Timor Leste juga turut hadir sebagai pemerhati ASEAN+1.
Mesyuarat kali ini juga turut memberi penekanan agenda laporan status projek dan kemaskini projek yang telah dan sedang berlangsung sebelum ini termasuk projek ASEAN bersama rakan strategik bagi tahun 2025.
Antara projek dan kolaborasi yang diberi perhatian ialah seperti ASEAN - JAPEN, kerjasama ASEAN dengan negara seperti Australia, China, Pakistan, Turkiye, India, Jepun, Korea, Norway dan projek-projek yang dilaksanakan pada tahun 2022 dan 2023.