SHAH ALAM - Gelagat seorang kanak-kanak yang merindui bapanya mengundang sedih netizen yang melihat video dikongsikan ibu saudaranya di Twitter baru-baru ini.
@Anne_mokhtar memuat naik video memaparkan pertanyaan kanak-kanak yang dikenali Adlina mengenai bapanya yang meninggal dunia ketika dia berusia dua tahun.
"Abang saya meninggal dunia sejak tiga tahun lalu semasa Adlina berusia dua tahun. Dia merupakan anak kecil ayahnya. Inilah momen yang paling sukar untuk kami. Hari ini (kelmarin), Adlina melawat ayahnya lagi kerana dia terlalu rindukan ayahnya. al-Fatihah," tulis @Anne_mokhtar
Lebih menyentuh hati netizen apabila anak kecil itu berkata,"Rindu ayah...ayah, Adlina dah besar tapi ayah tak keluar."
Menerusi video berkenaan, terdengar suara ibunya menahan sebak menjawab dan menerangkan bagaimana keadaan di Syurga.
"Ayah tunggu Adlina dekat syurga. Syurga itu rumah cantik, ada buah-buahan," kata ibunya yang membuatkan anaknya teruja mendengar nikmat itu.
Dalam pada itu, perkongsian video yang berdurasi 1 minit 21 saat itu kini tular di media sosial yang meraih 345,100 tontonan dan 22,900 ulang kicau.
Ramai netizen berkongsi pengalaman yang hampir sama dengan kanak-kanak itu.
"Kakak saya telah meninggal dunia ketika anak kecilnya berusia dua tahun. Bila ditanya mana mak dia, dia akan mengatakan mak tidur. Sekarang dia berusia lima tahun. Sama seperti adik Adlina," tulis @fiezapurple di Twitter.
@amzahahmad pula memberitahu,"Kesian tengok kejadian yang menimpa adik Adlina sama seperti keadaan yang menimpa kawan saya dahulu, semoga adik diberi kekuatan untuk terus kuat dalam menjalani kehidupan."