Penduduk Kota Bharu bersengkang mata pantau paras Sungai Kelantan

Iklan
Keadaan Sungai Kelantan berhampiran Tambatan D'Raja yang mula melepasi paras bahaya hari ini. - Foto: Bernama

KOTA BHARU - Bimbang air sungai melimpah dan menyebabkan pusat bandar Kota Bharu lumpuh, penduduk di sini sanggup bersengkang mata memantau paras air Sungai Kelantan di Tambatan D'Raja di sini.

Mereka berkumpul di satu lokasi tarikan pelancong yang menghadap ke Sungai Kelantan sejak beberapa hari lepas sambil merakam video dan membuat hantaran di laman media sosial masing-masing.

Iklan
Iklan

Nasrol Rosli, 25, berkata, sudah tiga malam dia berada di kawasan berkenaan bagi memantau paras air sungai dan berkemungkinan terus berbuat demikian setiap malam sehingga cuaca kembali seperti biasa.

"Sudah beberapa hari hujan menyebabkan banyak kawasan dilanda banjir. Saya dan beberapa rakan datang ke sini setiap malam bagi membuat pemantauan hingga pagi serta akan memberi makluman kepada pihak berkuasa jika keadaan semakin buruk.

Iklan

"Rumah saya terletak di Kampung Cina tidak dinaiki air, namun saya cuba untuk berada di sini setiap hari bagi mengetahui paras air di sungai ini,” katanya kepada Bernama di sini.

Mahriz Afandi, 36, berkata, meskipun stesen Angkatan Pertahanan Awam (APM) yang memantau paras air di Tambatan D’raja, dia tetap berada di situ kerana ingin melihat sendiri situasi banjir.

Iklan

"Kawasan rumah saya di Pasir Tumbuh sudah dinaiki air tetapi rumah saya masih selamat. Saya akan terus berada di sini kerana tidak bekerja pada Jumaat dan Sabtu,” katanya.

Paras air Sungai Kelantan di Tambatan D’Raja di sini semakin meningkat susulan hujan lebat berterusan sejak beberapa hari lepas, sekali gus menenggelamkan keseluruhan kawasan daratan di tambatan yang menjadi tarikan pelancongan di negeri berkenaan. - Foto: Bernama

Sementara itu, tinjauan Bernama pagi ini mendapati hujan masih berterusan dan orang ramai tetap berkunjung ke Tambatan D'Raja walaupun banjir sudah mencapai ketinggian kira-kira 0.5 meter.

Selain itu, angin kencang turut tidak menghalang orang ramai datang sendiri untuk melihat situasi terkini di sini.

Menurut portal Jabatan Pengaliran dan Saliran setakat 8 pagi ini, paras air di Sungai Kelantan mencapai paras bahaya di Tambatan D’Raja iaitu setinggi 5.58 meter.

Pada Rabu lepas, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan lebat berterusan tahap bahaya hingga hari ini, di seluruh Kelantan dan Terengganu serta daerah Kuantan dan Jerantut di Pahang. - Bernama