JOHOR BAHRU – Seorang warga New Zealand berputih mata apabila wang simpanannya berjumlah RM216,000 lesap gara-gara terpedaya dengan skim pelaburan yang tidak wujud.
Menurut Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singah, pada mulanya lelaki berusia 61 tahun itu dihubungi oleh seorang lelaki dikenali Michael Wong menerusi panggilan telefon seterusnya memperkenalkan satu laman web bagi menyertai pelaburan tersebut.
Mangsa kemudiannya turut diberikan penerangan mengenai syarat-syarat pelaburan dan dijanjikan keuntungan sebanyak tiga peratus hingga lima peratus sebulan daripada setiap nilai yang dilaburkan.
"Mangsa yang tertarik dengan keuntungan dijanjikan telah bersetuju membuat transaksi secara dalam talian bermula 3 Oktober 2024 hingga 25 Oktober 2024 sebanyak 27 kali transaksi berjumlah RM216,000.
"Apabila diminta untuk membuat pembayaran lagi, mangsa tidak melakukannya dan sedar telah ditipu oleh suspek, lalu terus membuat laporan polis.
"Sehingga kini mangsa tidak mendapat sebarang keuntungan lagi,” katanya.
Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen420 Kanun Keseksaan iaitu tipu yang mana jika sabit kesalahan akan dikenakan hukuman penjara hingga 10 tahun dan boleh disebat dan didenda.
"Siasatan juga akan meliputi penglibatan keldai akaun jika ada dan tindakan akan terhadap pemilik akaun yang terlibat," katanya.