Perak paling banyak warta tanah untuk Orang Asli

Iklan
MOHD ZOLKAFLY

IPOH - Perak menjadi negeri paling banyak mewartakan tanah untuk masyarakat Orang Asli iaitu sejumlah 13,218.6 hektar ketika ini.

Exco Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Mohd Zolkafly Harun berkata, sebanyak 72 pewartaan kawasan yang melibatkan 99 Kampung Orang Asli (KOA) telah diwartakan sehingga kini.

Iklan
Iklan

Menurutnya, pewartaan berkenaan merupakan satu langkah dalam usaha mengiktiraf dan melindungi tanah yang diduduki oleh masyarakat Orang Asli di Perak.

"Kerajaan negeri menitikberatkan aspek pewartaan tanah Orang Asli. Dalam konteks ini, Perak paling banyak mewartakan tanah dibandingkan negeri-negeri lain.

Iklan

"Jumlah tanah yang diwartakan membuktikan bahawa sumber tanah untuk pembangunan bagi kegiatan ekonomi dan sosial merakyatkan Masyarakat Orang Asli Perak," katanya menjawab soalan lisan Muhammad Zulfadli Zainal (PN-Slim) sempena Mesyuarat Ketiga Tahun Kedua Dewan Negeri Perak di sini pada Jumaat.

Mohd Zolkafly berkata, selain itu, 30 KOA juga telah menerima kelulusan daripada Majlis Mesyuarat Kerajaan Perak untuk pewartaan manakala 128 KOA masih dalam proses permohonan oleh JAKOA kepada kerajaan negeri melalui Pejabat Tanah Daerah dan Pejabat Tanah dan Galian Negeri.

Iklan

Menurutnya, kerajaan negeri melalui Jabatan Kemajuan Orang Asli sentiasa berusaha berterusan dalam mengurus dan mengiktiraf tanah yang diduduki oleh masyarakat Orang Asli di pelbagai daerah.

Katanya, langkah-langkah tersebut penting bagi memastikan memelihara warisan budaya dan identiti masyarakat Orang Asli.

Beliau berkata, dengan adanya pengiktirafan dan perlindungan yang sewajarnya, masyarakat Orang Asli dapat terus hidup dalam keadaan yang lebih baik dan sejahtera serta menyumbang kepada pembangunan negeri Perak secara keseluruhannya.