Borak kawan lama, apa salahnya? - Hamzah

Iklan
Hamzah menyampaikan ucapan pada majlis Perasmian Perhimpunan Agung Sayap Srikandi, Armada, Srikandi Muda dan Bersekutu Bersatu yang diadakan pada Jumaat. Foto Sinar Harian/ROSLI TALIB

KUALA LUMPUR - Perbincangan antara seorang ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dengan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengenai cadangan jajaran baharu Kerajaan Perpaduan hanyalah sekadar 'borak kawan lama'.

Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, tidak ada salahnya untuk seorang rakan mencadangkan sesuatu perkara bagi pertimbangan yang lebih baik.

Iklan
Iklan

"Bila perkara itu berlaku, saya tanya dengan orang yang berjumpa dengan Datuk Seri Ahmad Zahid dan dia beritahu, sebenarnya bukanlah perbincangan, ianya berlaku sekadar berjumpa di Parlimen.

"Cuma sebagai kawan, saya ingat tak salah mencadangkan sesuatu yang dia rasa lebih baik. Kira macam sahabat lama berjumpa, cerita berkisah-kisahkan dan mencadang-cadangkan. Apa salahnya?

Iklan

"Jadi takkan sebab itu Presiden UMNO boleh menyatakan ada mandat daripada pucuk pimpinan PN. Sebenarnya tak ada, belum ada mandat seperti Pengurusi PN (Tan Sri Muhyiddin Yassin) beritahu, kena buat secara official (rasmi) dengan mana-mana pihak," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Sayap Bersatu, pada Jumaat.

Sebelum ini media melaporkan, Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO mendakwa terdapat usaha untuk menarik partinya keluar daripada Kerajaan Perpaduan, seterusnya mengangkat individu daripada BN sebagai Perdana Menteri.

Iklan

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata, ada ahli Parlimen pembangkang datang berjumpa dengannya dan menawarkan pembentukkan kerajaan baharu di bawah panji Kerajaan Perpaduan dengan meminta empat jawatan menteri.

Susulan itu Muhyiddin dalam reaksinya menegaskan, tiada mana-mana pihak dalam PN diberi mandat untuk berunding dengan BN bagi membentuk jajaran baharu kerajaan.

Sementara itu ketika ditanya siapa individu yang didakwa mengadakan perbincangan tersebut, Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut meminta supaya pertanyaan itu diajukan kepada Ahmad Zahid.

"Kamu tanya Datuk Sri Ahmad Zahid siapa dia, (individu) yang berjumpa dengan beliau dah berjumpa dengan saya.

"Dia ceritakan apa yang saya ceritakan tadi, itulah sebenarnya yang berlaku," ujarnya.

Rabu lalu, Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim menafikan dakwaan pernah mengadakan pertemuan secara bersemuka dengan Pengerusi BN itu selain menegaskan, usaha mengajak BN bersama PN adalah rahsia umum atas semangat penyatuan ummah.