KOTA BHARU - Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud meredah hujan bagi mengagihkan bantuan banjir kepada penduduk terjejas di daerah Pasir Mas.
Beliau turut mengemudi sendiri bot membawa pek makanan dan singgah di pusat pemindahan banjir (PPS).
Usaha itu dilakukan sejak Rabu selepas selesai Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN).
Mohd Nassuruddin melalui Facebooknya berharap semua mangsa banjir tabah dan sabar menghadapi ujian yang menimpa mereka.
"Arus kuat dan air makin meningkat. Semoga semua mangsa banjir tabah dan sabar. Kita bantu dan ikhtiar sebaiknya," katanya di media sosial itu.
Beliau turut berkongsi cabaran di kawasan banjir yang perlu melalui pelbagai bentuk permukaan serta masalah kipas tersangkut sampah sarap.
"Ada kawasan bendang, tanaman getah, pokok-pokok mati, pagar kebun yang memerlukan penelitian dan kemahiran yang tinggi. Doakan kesemuanya dipermudahkan," katanya.