IPOH - Seramai 554 pegawai perkhidmatan pendidikan yang berkhidmat di Perak direkodkan telah memilih untuk bersara pilihan sepanjang tahun ini.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah berkata, jumlah itu menunjukkan penurunan berbanding 647 guru direkodkan tahun lalu.
Menurut beliau, Kementerian Pendidikan telah mengambil pelbagai pendekatan termasuk bimbingan dan psikologi bagi menangani isu guru yang bersara awal.
"Apabila bersara mereka membawa bersama kebolehan dan kecemerlangan yang akhirnya menjejaskan sumber pendidikan itu sendiri.
"Ada dalam kalangan guru-guru yang hendak bersara dipanggil Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) beri khidmat psikologi supaya mereka dapat terus mendidik kerana khidmat mereka cukup ditagih," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Berhanudin Ahmad (PN- Manong) ketika sesi soalan lisan Mesyuarat Ketiga Tahun Kedua Dewan Negeri Perak di sini pada Jumaat.
Dalam perkembangan lain, Khairudin berkata, kerajaan negeri telah mengenal pasti isu sekolah-sekolah padat berlaku di kawasan bandar utama seperti Ipoh, Kampar, Taiping, Kuala Kangsar, Teluk Intan dan Parit Buntar.
Jelas beliau, populasi penduduk yang tinggi dan pembukaan taman-taman perumahan baharu antara faktor utama kepadatan pelajar di sekolah kawasan bandar.
"Antara langkah-langkah yang diambil adalah penetapan dasar maksimum bilangan 40 orang murid untuk setiap kelasberdasarkan kesesuaian untuk bilik darjah standard.
"Bagi jangka pendek turut dilaksanakan pengoperasian sekolah secara dua sesi manakala bagi penyelesaian jangka panjang adalah pembinaan banggunan tambahan dan pembinaan institusi/sekolah baharu.
"Sebanyak 37 buah sekolah rendah dan 69 buah sekolah menengah di Perak beroperasi secara dua sesi bagi tahun 2024," katanya.