Penduduk, peniaga sudah lali hadapi banjir di Meru

Iklan
Kawasan perumahan di Taman Seri Puteri, Meru dilanda banjir pada Jumaat.

KLANG - Penduduk dan peniaga di sekitar Meru di sini sudah lali apabila kawasan kediaman dan premis perniagaan mereka dilanda banjir jika hujan lebat.

Seorang penduduk, Laila Mohd Norani, 30, berkata, rumah sewa didiaminya itu sudah dua kali dinaiki air pada tahun ini.

Iklan
Iklan
Laila

"Hujan lebat tanpa henti berlaku sejak petang semalam (Khamis), namun air memenuhi keseluruhan rumah jam 4 pagi tadi (Jumaat).

"Sebelum ini banjir melanda April lalu sewaktu Hari Raya Aidilfitri, ingatkan itu yang terakhir, tapi kami berdepan sekali lagi banjir," katanya ketika ditemui di kediamannya di Lot Persiaran Hamzah di sini.

Iklan
Persiaran Hamzah Alang turut dilimpahi air akibat hujan berterusan sejak petang Khamis.

Menurut Laila, dia bersama suami dan dua anaknya berusia 10 dan dua tahun mengambil keputusan untuk menumpang sementara di rumah kakaknya di Kapar Setia.

"Air naik terlalu cepat dan saya hanya sempat memindah barangan penting sahaja ke tempat lebih selamat, manakala perabut dan kabinet televisyen basah akibat limpahan air," ujarnya yang menetap di situ sejak dua tahun lalu.

Iklan
Beberapa kediaman penduduk dan premis perniagaan di Lot Persiaran Hamzah di sini, ditenggelami banjir pada Jumaat.

Sementara itu, tinjauan Sinar Harian di beberapa kawasan rendah di Meru mendapati kediaman dan premis penduduk dilimpahi air termasuk di Jalan Persiaran Hamzah Alang sejauh 200 meter.

Bagaimanapun, jalan terbabit masih boleh dilalui kenderaan awam meskipun digenangi air sejak awal pagi Jumaat.

Seorang peniaga kedai makan, Mohd Yatim Asri, 48, berkata, premis perniagaannya itu terpaksa ditutup sementara akibat dilimpahi air.

Katanya, keadaan itu menjejaskan operasi perniagaan yang menjadi sumber pendapatan utama keluarga.

"Kami tidak boleh berniaga kerana air naik membasahi lantai kedai dan berharap ada jalan penyelesaian diambil pihak berwajib menangani isu ini," katanya.

Seorang lagi penduduk, Azri Mustafa, 37, berkata, kira-kira 30 penduduk yang menetap di Taman Seri Puteri terpaksa berdepan banjir apabila kediaman mereka dinaiki air bermula petang Khamis.

Azri

Bagaimanapun, katanya, keadaan bertambah teruk pada pagi Jumaat hingga dia dan keluarga serta penduduk terpaksa dipindahkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Binjai, Meru.

"Taman perumahan ini terletak di kawasan rendah, biasanya jika hujan lebat pastinya kawasan kami dinaiki air terlebih dahulu.

"Rata-rata penduduk sudah berpindah dan saya sendiri akui belum sempat tidur kerana bimbang banjir semakin buruk.

"Saya dan isteri serta empat anak kami mula berpindah ke PPS jam 4 pagi tadi dan sehingga kini hujan masih belum berhenti," jelasnya.

Seorang pengawal keselamatan, Saiful Mat Jusof, 48, berkata, dia terpaksa mengambil cuti kecemasan apabila kediamannya di Kampung Meru mula dilimpahi air sejak jam 6 petang Khamis.

Menurut Saiful, buat masa ini, dia yang menetap bersama seorang adik lelakinya berteduh di dalam kereta sementara menunggu banjir surut.

"Saya tidak bercadang berpindah ke PPS buat waktu ini, tetapi ia bergantung sejauhmana keadaan banjir.

"Kampung ini berada di kawasan agak rendah dan salah satu punca utama air banjir bertakung adalah kerana sistem perparitan tidak diselenggara secara sistematik," ujarnya.

Sebuah kereta tersadai ditenggelami banjir di Taman Seri Puteri, Meru.

Dalam pada itu, jumlah mangsa banjir di Selangor menunjukkan peningkatan apabila seramai 312 mangsa daripada 77 keluarga ditempatkan di dua PPS di Meru.

Menerusi info di portal Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menyaksikan seramai 286 mangsa daripada 70 keluarga telah dipindahkan ke PPS SK Sungai Binjai.

PPS di Balai MPKK Bukit Kapar pula menempatkan seramai 26 mangsa daripada tujuh keluarga, setakat jam 2 petang Jumaat.