Dr Maza saman GISBH RM10 juta

Iklan
Mohd Asri

SHAH ALAM - Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin memfailkan saman fitnah RM10 juta terhadap GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) berhubung pernyataan dalam poster jemputan media, Ogos lalu.

Mohd Asri yang lebih dikenali sebagai Dr Maza selaku plaintif memfailkan saman itu di Mahkamah Tinggi di sini pada 1 Oktober lalu menerusi Tetuan Faizal Rahman & Co.

Iklan
Iklan

Beliau menamakan GISBH dan Timbalan Ketua Pengarah Pentadbiran syarikat itu, Mokhtar Tajuddin masing-masing sebagai defendan pertama dan kedua.

Berdasarkan pernyataan tuntutan yang diperoleh media pada Jumaat, mufti itu mendakwa, defendan pertama telah menerbitkan pernyataan fitnah melalui satu hantaran yang dibuat di akaun Facebook rasmi pada atas nama ‘GISB Holdings Sdn Bhd’ pada 28 Ogos lalu.

Iklan

Kenyataan itu dibuat beserta poster jemputan sidang media antaranya ‘Sesi media ini bertujuan menjawab isu tohmahan, fitnah adu domba dan persepsi buruk oleh individu berniat jahat dan tidak bertanggungjawab yang sedang berkeliaran di beberapa media sosial MAZA dan beberapa yang lain’.

Katanya, ia termasuk dakwaan fitnah, bahawa defendan pertama telah menghantar notis tuntutan bertarikh 24 Ogos dan menuntut Mohd Asri mengemukakan permohonan maaf dalam tempoh tujuh hari bagi membersihkan nama GISBH.

Iklan

"Hantaran fitnah itu telah mengaibkan, menjatuhkan maruah dan imej saya sebagai seorang mufti, ahli akademik dan pendakwah di Malaysia.

"Saya memohon defendan membayar ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan sebanyak RM10 juta, ganti rugi am, kos, faedah serta memohon relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah,” kata pernyataan tuntutan itu.

Selain itu beliau juga memohon defendan membuat draf permohonan maaf dalam masa 14 hari dari tarikh penghakiman dan menerbitkan draf terbabit antaranya dalam akhbar Utusan Malaysia, Sinar Harian, Berita Harian, News Straits Times dan Facebook defendan secara bertulis selama 30 hari.

Beliau juga memohon defendan memadam pernyataan fitnah itu di semua laman sesawang dan media sosial termasuk di bawah kawalan defendan.

Sebelum ini, Mohd. Asri telah memfailkan saman terhadap seorang pengguna laman Facebook dengan jumlah sama kerana mengaitkannya dengan GISBH.