Isu pemilihan ketua Armada sudah tidak wujud - Muhammad Hilman

Iklan
Muhammad Hilman di Majlis Perasmian Perhimpunan Agung Tahunan Sayap Bersatu, pada Jumaat. Foto Sinar Harian/ROSLI TALIB

SHAH ALAM - Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menolak sebarang kontroversi berhubung pemilihan ketua sayap parti itu untuk memberi fokus terhadap perubahan landskap politik negara.

Ketua Armada Bersatu, Muhammad Hilman Idham berkata, isu berkenaan sudah tidak wujud kerana pihaknya mahu melangkah terus kehadapan.

Iklan
Iklan

"Yang hadir semua yang telah menerima mandat daripada anggota perwakilan. Begitu juga (tindakan) melebarkan sayap dengan melantik rakan dengan pengalaman dan pelbagai latar supaya dapat menjana satu pasukan yang utuh.

"Ini perlu supaya kita dapat memaknai kembali semangat gerakan pemuda dalam negara bagi anak muda menerajui perubahan pada hari ini.

Iklan

"Jadi, soal pemilihan (ketua Armada) tidak lagi wujud kerana kita mahu melangkah terus kehadapan untuk pastikan Armada dapat mainkan peranan yang penting bagi melaksanakan perubahan dalam landskap politik negara,” katanya ketika sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Perhimpunan Agung Tahunan Sayap Bersatu, pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Muhammad Hilman memaklumkan, pihaknya tidak akan berpaling kebelakang dan terus maju ke hadapan untuk mencari solusi dalam memastikan Armada dapat muncul sebagai satu pasukan yang kuat.

Iklan

"Ini penting untuk kita memantapkan halatuju Armada supaya pilihan raya akan datang kita akan menjadi tunjang kepada Bersatu dan Perikatan Nasional (PN) untuk menang.

"Selain itu, dalam ucapan dasar saya hari ini juga akan melibatkan perbahasan bukan hanya daripada perwakilan sahaja tetapi kita ada wakil yang dijemput untuk bawa suara anak muda ke dewan Bersatu.

"Ini menunjukkan kita sebagai parti masa yang mahu menggembalikan negara ini ke arah betul. Kita bersedia untuk dengar suara rakyat, bukan sahaja turun ke lapangan berjumpa dengan mereka tetapi juga buka pentas seluasnya untuk mereka hadir menyuarakan hasrat dan aspirasi,” jelasnya.

Sebelum ini media melaporkan, Hilman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) diumumkan sebagai Ketua Armada Bersatu bagi penggal 2024-2027.

Kemenangan itu diperoleh selepas undian Hilman (1,888) mengatasi pencabarnya, Akmal Zahin Zainal Zahir dengan 170 undi yang meraih 1,718.

Pada 4 November, Naib Ketua Armada Bersatu, Faiz Rahmad tampil mempertikaikan keputusan pemilihan.

Dalam satu kenyataan, Faiz mendakwa wujudnya campur tangan, penyelewengan dan mempertikaikan keputusan yang diumumkan oleh jawatankuasa pemilihan parti (JPP).

Ini termasuk dakwaan beberapa bahagian dihalang daripada mengundi seperti di bahagian Beaufort, atau mengalami lonjakan jumlah mendadak ahli yang layak untuk membuang undi bahagian Kalabakan.

Susulan itu, JPP tampil memberi kenyataan bahawa isu berkenaan sudah ‘tutup buku’ kerana keputusan pemilihan sudah muktamad.