Dua beranak tak mengaku terima deposit tanpa lesen sah

Iklan
Kedua-dua tertuduh ketika dibawa ke Mahkamah Balik Pulau, pada Jumaat.

BALIK PULAU - Dua beranak mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, atas tiga pertuduhan menerima deposit berjumlah RM50,000 tanpa lesen sah daripada seorang lelaki bagi pelaburan syarikat pada 2015.

Tertuduh, Abang Fikri Azad Abang Mohamad Arip, 35 dan bapanya, Abang Mohamad Arip Abang Aerowaini, 70, membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan dibacakan secara bersama di hadapan Hakim Ahzal Fariz Ahmad Khairuddin.

Iklan
Iklan

Mengikut kertas pertuduhan, kedua-dua mereka didapati menerima wang deposit RM50,000 daripada Zakaria Abdul Rahman, 38 tanpa suatu lesen yang sah yang diberikan dibawah Seksyen 10 Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (Akta 758).

Bekas anggota pasukan beruniform dan bapanya yang merupakan pesara badan beruniform sama didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah bank di Bayan Baru antara 8 Mei hingga 5 Jun 2015.

Iklan

Bagi kesalahan tersebut kedua-dua mereka didakwa mengikut Seksyen 137 (1) Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 yang boleh dihukum dibawah Seksyen 137 (2) Akta yang sama.

Jika sabit kesalahan tertuduh boleh dihukum penjara tidak lebih 10 tahun atau denda maksimum RM50 juta atau kedua-duanya sekali.

Iklan

Timbalan Pendakwa Raya, Lim Jin Hong menawarkan jaminan RM15,000 bagi setiap pertuduhan serta syarat tambahan kedua-dua tertuduh dilarang menganggu saksi pendakwaan, lapor diri di balai polis berhampiran kediaman dan serah pasport kepada mahkamah.

Bagaimanapun, peguam, S Jeevah yang mewakili dua tertuduh itu meminta mahkamah memberikan jaminan minima disebabkan anak guamnya kini bekerja sebagai pemandu e-hailing serta perlu menyara isteri, dua anak serta ibu bapa mentuanya.

"Anak guam kedua saya merupakan pesara kerajaan yang menerima pencen bulan berjumlah RM2,000 dan menyara isterinya," katanya.

Hakim membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM36,000 bagi kesemua pertuduhan dengan seorang penjamin tempatan serta syarat mengenakan syarat tambahan dan menetapkan 6 Januari depan untuk sebutan semula kes.