Tambatan Diraja Kota Bharu 'meriah'

Iklan
Paras air Sungai Kelantan di Tambatan D’Raja di sini semakin meningkat susulan hujan lebat berterusan sejak beberapa hari lepas, sekali gus menenggelamkan keseluruhan kawasan daratan di tambatan yang menjadi tarikan pelancongan di negeri berkenaan. Foto Bernama

KOTA BHARU - Suasana di Tambatan Diraja Kota Bharu meriah dengan orang ramai yang datang menyaksikan paras air sungai yang kini sudah melimpah ke daratan.

Bagi menyaksikan keadaan itu, mereka sanggup meletakkan kenderaan lebih 500 meter dan berjalan kaki ke kawasan yang dinaiki air mencecah sehingga 0.4 meter.

Iklan
Iklan

Salah seorang penduduk, Nur Zanariah Mat, 39, ketika ditemui berkata, dia mahu menyaksikan rumah bot milik seorang usahawan yang berjaya diselamatkan selepas dibawa arus deras pada Selasa.

Nurlizawati (kiri) meredah banjir untuk ke Tambatan Diraja.

Wanita itu juga mengakui suasana meriah yang dilihat melalui media sosial menyebabkan dia ingin menyaksikannya dengan lebih dekat.

Iklan

"Ini merupakan kali pertama saya datang ke Tambatan Diraja dan tidak menyangka ramai yang berjalan meredah air memenuhi jalan raya untuk ke atas tambatan," katanya.

Bagaimanapun, Nur Zanariah menasihatkan orang ramai supaya tidak membawa anak kecil bagi mengelakkan bahaya berikutan paras air yang mungkin meningkat.

Iklan
Nurlizawati dan Nur Zanariah meredah air di Tambatan Diraja

Rakannya, Nurlizawati Mohd Nor, 39, pula datang ke Tambatan Diraja secara kebetulan selepas menjalani sesi latihan bola tampar di Kompleks Sekolah Wakaf Mek Zainab awal pagi tadi.

Nurlizawati yang tinggal di Pengkalan Chepa memberitahu, sudah sejam berada di kawasan itu untuk melihat kemeriahan orang ramai yang leka berswafoto dan melakukan 'live' di media sosial.

"Suasana memang bahaya tetapi menjadi tarikan orang ramai yang mengambil peluang sekali dalam setahun pada musim tengkujuh," katanya.

Muhd Ameer

Seorang lagi pengunjung, Muhd Ameer Azmili, 22, datang ke lokasi itu kerana tertarik dengan video keghairahan orang yang dirakam pengguna media sosial.

Muhd Ameer yang ditemani sepupunya, Abdullah Zikri Zamri, 16, menunggang motosikal dari Kampung Telipot untuk melihat suasana itu.

"Malam tadi saya sudah datang ke sini dan paras air sudah menurun. Bagaimanapun, orang ramai perlu berhati-hati dan menjaga keselamatan," katanya.

Paras air Sungai Kelantan di Tambatan D’Raja di sini semakin meningkat susulan hujan lebat berterusan sejak beberapa hari lepas, sekali gus menenggelamkan keseluruhan kawasan daratan di tambatan yang menjadi tarikan pelancongan di negeri berkenaan. Foto Bernama