KUALA LUMPUR -"Satu hadiah penuh bermakna kepada saya yang akan bersara pada April tahun depan dan ia juga hadiah istimewa sempena ulang tahun kelahiran ke-40 pada Khamis."
Demikian kata anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Staf Sarjan Mohd Nor Khalid yang dinaikkan pangkat daripada Sarjan, susulan keberaniannya menyelamatkan empat remaja daripada lemas di sebuah tasik tadahan hujan, Taman Lautan Samudera 2B3, Puncak Alam, Selangor pada Ahad.
Anak kelahiran Lenggong, Perak itu berkata, pemakaian pangkat baharu sebagai Staf Sarjan yang disempurnakan oleh Panglima Tentera Darat Malaysia (TDM), Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan pada Jumaat merupakan satu detik bersejarah.
Beliau yang berkhidmat dalam pasukan 41 Bateri Rejimen Artileri Diraja (Istiadat) berkata, sama sekali tidak menyangka akan diberikan kenaikan pangkat atas jasa menyelamatkan empat mangsa kesemuanya berusia 13 tahun.
Jelasnya, apa yang dilakukan pada hari kejadian adalah atas naluri kemanusiaan yang mahu membantu insan dalam kesusahan.
"Semasa saya tiba, orang ramai yang berada di tasik memberitahu mangsa telah terapung dan berpaut pada sampan selama hampir 45 minit.
"Tanpa berlengah dan tidak mahu keadaan menjadi lebih teruk, saya bertekad untuk terjun menyelamatkan kesemua mangsa yang kelihatan ketakutan," katanya dalam sidang akhbar pada Jumaat.
Mohd Nor ditemui pada majlis pemakaian pangkat Staf Sarjan di Wisma Pertahanan, di sini. Hadir sama isterinya, Nor Suhaila Ismail.
Mohd Nor berkata, Nor Suhaila pada mulanya tidak mengetahui dia ke tasik bersama dua anak berusia sembilan dan empat tahun bagi meninjau keadaan di lokasi kejadian.
Menurutnya, selepas mengetahui dia terjun ke dalam tasik bagi menyelamatkan mangsa, isteri turut keluar rumah bagi melihat dan memastikan keadaan dirinya.
Katanya, Nor Suhaila menangis kerana risau keadaan keselamatan dirinya.
"Isteri menangis sebab pernah terjadi kejadian orang yang mahu menyelamat mangsa lemas, tetapi individu itu pula menjadi korban.
"Syukur kepada ALLAH kerana semuanya berakhir dengan baik dan empat mangsa terlibat berjaya diselamatkan," ujarnya penuh ikhlas.
Selepas kejadian itu, menurutnya, ahli keluarga mangsa ada berjumpa dengannya dan mengucapkan terima kasih atas jasa yang telah diberikan.
Katanya lagi, semua yang berlaku merupakan satu ujian dan dia sendiri tidak minta dinobatkan sebagai hero negara oleh kebanyakan netizen di media sosial.
"Anak-anak saya rasa berbangga apabila bapa mereka dipanggil hero tetapi saya pula berasa malu," ujarnya merendah diri.