Sejam berpaut pada kayu, pemuda nyaris maut motosikal dihanyut arus deras

Iklan
Seorang penunggang motosikal dihanyutkan arus banjir ketika melalui lokasi kejadian. - Foto tular di media sosial

MASJID TANAH - Seorang penunggang motosikal nyaris maut selepas dihanyutkan arus deras banjir di Jalan Batu Alang, Kampung Sungai Siput, Lubok Cina, di sini awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 pagi itu, mangsa, seorang lelaki berusia 34 tahun, terpaksa berpaut pada dahan pokok kira-kira sejam sebelum diselamatkan pasukan bomba.

Iklan
Iklan

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 7.32 pagi sebelum sebuah jentera bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Masjid Tanah digerakkan ke lokasi kejadian.

"Maklumat diterima memaklumkan seorang penunggang motosikal dihanyutkan arus banjir ketika melalui lokasi kejadian.

Iklan

"Sebaik tiba di lokasi kawasan sekitar termasuk jalan raya dinaiki air sedalam kira-kira 1.2 meter dengan keadaan arus yang deras dan mangsa ketika itu berusaha menyelamatkan diri dengan berpaut pada sebatang kayu sebelum pasukan bomba memulakan operasi menyelamat," katanya ketika dihubungi di sini.

Menurutnya, mangsa kemudian berjaya diselamatkan dan dibawa naik ke jalan raya selepas operasi menyelamat dijalankan lebih 40 minit.

Iklan

"Kami menasihatkan orang awam khususnya pengguna jalan raya untuk tidak mengambil risiko dengan meredah atau melintasi air deras bagi mengelak kejadian serupa," katanya.

Sementara itu kejadian menimpa lelaki itu tular di media sosial menunjukkan mangsa cuba meredah arus deras banjir dengan mengekori rapat belakang sebuah lori.

Mangsa bagaimanapun tiba-tiba terjatuh sebelum dihanyutkan arus. - Awani