KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim menitipkan doa agar semua mangsa banjir yang terjejas di tujuh negeri diberikan perlindungan, ketabahan serta kesabaran oleh ALLAH SWT.
"Ya Allah, Tuhan Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, kami memohon kepada-Mu agar Engkau melindungi saudara-saudara kami yang sedang diuji dengan musibah banjir.
"Limpahkanlah kepada mereka kekuatan, ketabahan dan kesabaran dalam menghadapi ujian ini,” demikian doa Seri Paduka Baginda dalam hantaran yang dikongsi di Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar pada Jumaat.
Sultan Ibrahim turut mendoakan keselamatan pegawai serta anggota agensi penyelamat yang terlibat dalam operasi menyelamat mangsa banjir.
Selain itu, Yang di-Pertuan Agong mengarahkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) supaya memastikan kemudahan di pusat pemindahan sementara (PPS) berada dalam keadaan baik dan bantuan juga disampaikan kepada mangsa banjir.
Seri Paduka Baginda bertitah orang ramai perlu sentiasa berhati-hati dan mengambil langkah berjaga-jaga serta peka dengan arahan pasukan keselamatan dalam keadaan cuaca yang tidak menentu ketika ini.
Hujan berterusan menyebabkan jumlah mangsa banjir di beberapa negeri meningkat mendadak dengan Kelantan mencatatkan jumlah tertinggi, diikuti Terengganu, Kedah, Perlis, Negeri Sembilan, Selangor dan Perak.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan berterusan melibatkan lapan negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Perak, Pahang, Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Johor, hingga esok. - Bernama