Covid-19: Polis buka siasatan punca laporan tular

Iklan

KOTA TINGGI - Satu kertas siasatan dibuka berikutan penularan laporan rasmi terkelas mengenai jangkitan wabak koronavirus (Covid-19) di Kota Tinggi semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Ahsmon Bajah berkata, tindakan terbabit dilakukan bagi membolehkan polis menyiasat secara terperinci tentang bagaimana laporan rasmi terkelas itu ditularkan kepada orang ramai.

Iklan
Iklan

"Kita akan siasat perbuatan menyebarkan laporan rasmi terkelas (berklasifikasi) yang dibuat untuk tujuan edaran dalaman Polis Diraja Malaysia (PDRM), namun ditularkan kepada orang awam.

"Siasatan akan ditumpukan untuk mengenal pasti bagaimana berlaku kebocoran (laporan).

Iklan

"Siasatan dibuat mengikut Seksyen 203A Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia (AKM)1988, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM1 juta atau penjara maksimum setahun, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan," katanya ketika dihubungi.

Semalam, Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) menafikan pihaknya ada mengeluarkan sebarang kenyataan atau laporan mengenai seorang anggota polis Bandar Tenggara dan keluarganya yang dijangkiti Covid-19 dan diarah dikuarantin selama 14 hari di Klinik Kesihatan Bukit Besar, Kota Tinggi, sebagaimana yang tular.

Iklan

Laporan polis berkaitan kenyataan tular itu telah dibuat JKNJ.