KOTA BHARU - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengarahkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) menghantar khemah untuk semua mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) Kelantan.
Beliau berkata, tindakan segera itu susulan ramai mangsa banjir di PPS yang mengadu menghadapi masalah tiada khemah di dewan PPS.
"Saya sudah mengarahkan Nadma menghantar khemah dalam stor simpanan untuk dibawa ke Kelantan dan diedarkan ke semua PPS," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau PPS Sekolah Kebangsaan Tapang dalam sesi lawatannya di Kelantan pada Jumaat.
Hadir sama, Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud dan Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat memberitahu, pihaknya turut mengatur gerak anggota keselamatan untuk membantu kerajaan negeri Kelantan mengurus mangsa banjir.
"Kita sudah mengatur gerak lebih 7,000 pegawai dan anggota keselamatan serta aset untuk menyelamat sejak lapan hari lalu," katanya.
Katanya lagi, antara yang dihantar ialah trak tentera berat tanpa muatan (BTM) tiga tan, lima tan dan 10 tan.
Selain itu, jelas beliau, aset lain yang ada dikendalikan oleh pasukan keselamatan lain termasuk bomba dan penyelamat serta Anggota Jabatan Pertahanan Awam.
"Kita turut mendapat sokongan Persatuan Nelayan negeri yang menawarkan khidmat membantu di sekitar pedalaman yang sukar dilalui," katanya.