Saya dilabel MB biadab - Saarani

Iklan
Saarani dilihat mengesat air mata selepas sebak ketika membentangkan Belanjawan Negeri Perak 2025 sempena Mesyuarat Ketiga Tahun Kedua Dewan Negeri Perak di sini pada Jumaat.

IPOH - Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad terkilan dengan pihak tertentu yang memberi gelaran biadab dan menghina pentadbiran kerajaan negeri.

Menurutnya, pelbagai kejayaan dikecapi kerajaan negeri selama ini tidak dipandang sebagai suatu pencapaian yang membanggakan.

Iklan
Iklan

Sebaliknya beliau berkata, mereka seboleh-bolehnya cuba menutup kejayaan dikecapi dengan kebencian.

"Kerajaan ini dihina dengan gelaran ‘kerajaan tidak boleh diharap’ seolah-olah kerajaan yang saya pimpin ini tidak pernah buat apa-apa kebaikan kepada rakyat.

Iklan

"Malah, saya sebagai Menteri Besar pula dilabel dengan cacian 'MB biadab' seolah-olah saya sedang melakukan penindasan dan penganiayaan ke atas rakyat," katanya.

Beliau berkata demikian, ketika membentangkan Belanjawan Negeri Perak 2025 sempena Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di sini pada Jumaat.

Iklan

Sungguh pun begitu, Saarani menjelaskan tidak berniat menjadikan DUN Perak sebagai medan untuk membalas kejian dan cacian itu.

Jelasnya, maruah seorang pemimpin tidak terletak pada kekuatan membalas cacian tetapi keupayaan untuk tetap berdiri teguh memikul amanah dengan keinsafan dan keikhlasan.

"Kepada seluruh anggota jentera kerajaan, yakinlah bahawa perjuangan kita dalam menata kehidupan rakyat tidak diukur dengan cacian dan tohmahan.

"Tetapi dengan perpaduan hati setiap daripada kita dalam melunaskan amanah dengan ikhlas dan rasa penuh tanggungjawab," katanya.

Sementara itu ketika membentang belanjawan tersebut, Saarani kelihatan sebak ketika menyentuh soal perumahan rakyat.

Beliau turut dilihat mengesat air mata ketika membacakan teks belanjawan yang menyentuh fokus pertama iaitu Kesejahteraan Rakyat.

Katanya, ketika turun di lapangan perkara yang sering meruntun emosi apabila masih ada keluarga yang bergelut untuk memiliki rumah.

Jelasnya, rumah bukan sekadar tempat berteduh tetapi asas kepada kesejahteraan sesebuah keluarga.