SHAH ALAM - Management and Science University (MSU) melancarkan Biasiswa Yayasan MSU 2024/2025 bagi membantu pelajar berpotensi daripada kategori B40 untuk menyambung pengajian di institusi berkenaan.
MSU dalam satu kenyataan berkata, bantuan biasiswa itu melibatkan nilai RM50 juta dan bakal diserahkan kepada wakil dari 131 institusi pendidikan seluruh negara merangkumi 119 sekolah menengah, sembilan kolej vokasional serta tiga kolej Tingkatan Enam.
Menurutnya, ia selaras dengan hasrat Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang ingin memastikan akses pendidikan berkualiti dapat diberi kepada semua pelajar tanpa mengira latar belakang atau lokaliti bagi membolehkan bidang pendidikan terus menjadi sektor utama kerajaan.
"Penganjuran program ini merupakan usaha berterusan MSU dalam memperkasakan permuafakatan pendidikan bersama KPM khususnya institusi pendidikan di pelbagai peringkat dengan matlamat untuk melahirkan generasi muda yang berilmu, berkemahiran dan beraspirasi.
"Program ini membolehkan KPM membangunkan agenda pendidikan manusiawi, sekali gus menunjukkan usaha berterusan kerajaan terhadap pembangunan bakat dalam memacu negara ke hadapan,” katanya pada Jumaat.
Menurut MSU, penubuhan yayasan itu penting agar pelajar mampu mendapatkan akses pendidikan penuh menerusi penajaan biasiswa dan bantuan kewangan.
Selain itu, Yayasan MSU menyediakan beberapa kategori penajaan biasiswa seperti President Scholarship, MSU Outstanding Rewards Scholarship (MORE), Scholarship Reward for Excellence (SCORE), Scholarship for Mobility and International Experiences (SMILE), Joint Scholarships bersama pihak-pihak swasta, Fellowship dan Skim SLAB.
"Kami berharap bantuan ini boleh dimanfaatkan kepada pelajar berpotensi menerusi laluan pendidikan yang ditawarkan sama ada bidang akademik atau aliran Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET)," katanya.