IPOH - Kerajaan Negeri Perak mengumumkan belanjawan terbesar dalam sejarah bagi tahun 2025 berjumlah RM1.52 bilion sempena Mesyuarat Ketiga Tahun Kedua Dewan Negeri Perak di sini pada Jumaat.
Meneruskan tema Perak Makmur, Rakyat Sejahtera, belanjawan kali ini mencatatkan peningkatan sebanyak RM170 juta berbanding tahun lalu hanya RM1.35 bilion meliputi perbelanjaan mengurus sebanyak RM981.8 juta manakala perbelanjaan pembangunan berjumlah RM538 juta.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, peruntukan belanjawan kali ini menumpukan kepada lima fokus utama iaitu Kesejahteraan Rakyat, Tadbir Urus Projek Berkepentingan Negeri, Pembangunan Modal Insan dan Belia, Kelestarian Alam Sekitar serta Keterjaminan Bekalan Makanan.
"Usaha merangka dan melaksanakan belanjawan negeri pada tahun ini akan dipandu oleh lima elemen Visi Baru Perak yang diilhamkan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dalam buku nukilan baginda, Globalization: Perak’s Rise, Relative Decline, and Regeneration.
"Lima elemen ke arah Visi Baru Perak yang disarankan Duli Yang Maha Mulia Tuanku ialah Memastikan institusi yang cekap dan telus; Membina semula modal insan dan meningkatkan kebolehpasaran; Melabur dalam pintu masuk global; Memanfaat dan meningkatkan aset semula jadi dan sejarah Perak yang menakjubkan dan Memperluaskan kuasa dalam pengumpulan hasil dan pembuatan keputusan," katanya ketika membentangkan belanjawan tersebut.
Saarani berkata, pelaksanaan Belanjawan Negeri Perak 2025 dirangka berdasarkan unjuran hasil dan terimaan pembangunan yang hampir mencecah RM1.438 bilion terdiri daripada hasil cukai RM672 juta, hasil bukan cukai RM514 juta, terimaan bukan hasil RM214 juta dan terimaan Pembangunan RM38 juta.
Jelasnya, daripada unjuran hasil dan perbelanjaan tersebut, Penyata Kewangan Kerajaan Negeri bagi tahun berakhir 31 Disember 2025 dijangka ditutup pada kadar defisit RM81.8 juta.
Saarani berkata, bagi fokus pertama iaitu Kesejahteraan Rakyat, kerajaan negeri menyediakan hampir separuh peruntukan keseluruhan belanjawan sebanyak RM612 juta untuk melaksanakan pelbagai inisiatif termasuk program bantuan makanan, Kad Perak Sejahtera dan program baik pulih rumah.
"Kadar bantuan am yang dinaikkan RM100 pada tahun 2024, akan ditambah RM100 lagi tahun hadapan menjadikan bantuan kepada 6,100 penerima akan meningkat menjadi RM500 sebulan berkuat kuasa Januari 2025.
"Satu lagi skim pinjaman baik pulih rumah tanpa faedah akan dilaksanakan tahun hadapan khusus bagi membantu keluarga berpendapatan rendah. Inisiatif ini akan dilaksanakan oleh Yayasan Bina Upaya Darul Ridzuan (YBUDR) melalui dana pusingan bernilai RM3 juta yang diamanahkan oleh kerajaan negeri," katanya.
Sementara itu, peningkatan peruntukan turut diterima untuk pembangunan modal insan dan belia iaitu sebanyak RM94.8 juta selain dana RM15.95 juta bagi tujuan pendidikan meliputi pelaksanaan pelbagai program termasuk bantuan pendidikan, program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan pelbagai insentif pelajar.
Jelas Saarani, Belanjawan Perak 2025, peruntukan bagi meningkatkan syiar Islam turut meningkat sebanyak RM9.3 juta melalui Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) dengan keseluruhan perbelanjaan berjumlah RM111.9 juta.
Beliau berkata, dalam belanjawan kali ini, kerajaan negeri memperuntukkan RM69.79 juta di bawah fokus Kelestarian Alam Sekitar bagi memastikan sumber semula jadi tidak terancam.
Menurutnya, keterjaminan bekalan makanan yang merupakan salah satu Hala tuju pertanian Perak di bawah Pelan Perak Sejahtera 2030 terus diberikan peruntukan berjumlah RM65.41 juta.
Prestasi kewangan Perak terus kukuh
IPOH - Prestasi kewangan Kerajaan Negeri Perak terus mengukuh apabila kutipan hasil sehingga 28 November 2024 telah mencapai hampir RM1.2 bilion.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, kerajaan negeri sekali lagi mencipta sejarah apabila seawal bulan Oktober, Perak sudah mencapai kutipan hasil mencecah RM1 bilion.
Menurutnya, Penyata Kewangan Kerajaan Negeri tahun 2023 telah menunjukkan peningkatan prestasi kutipan hasil yang ketara iaitu RM1.2 bilion dengan peningkatan 10.97 peratus berbanding tahun 2022.
"Alhamdulillah, berkat kerja keras seluruh jentera pentadbiran, Perak berjaya bangkit kembali ke landasan kemajuan. Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negeri merekodkan momentum pertumbuhan tiga tahun berturut-turut.
"Daripada defisit RM78 juta dan RM6.59 juta pada tahun 2020 dan 2021, kita kembali mencatat surplus untuk dua tahun berturut-turut iaitu RM29.6 juta pada tahun 2022 dan RM62.4 juta pada tahun 2023 iaitu angka tertinggi pernah direkodkan dalam sejarah," katanya ketika membentangkan Belanjawan Negeri Perak 2025 sempena Mesyuarat Ketiga Tahun Kedua Dewan Negeri Perak di sini pada Jumaat.
Saarani berkata, Perak masih mampu mengekalkan momentum pertumbuhan sebanyak 2.7 peratus dengan nilai KDNK mencecah RM82.6 bilion di sebalik persekitaran ekonomi global yang tidak menentu, perang geopolitik yang masih mencengkam pasaran komoditi sepanjang tahun 2023.
Beliau memaklumkan, jumlah pelaburan yang diluluskan di Perak bagi sektor pembuatan untuk setengah tahun pertama 2024 adalah RM601.49 juta melibatkan 30 projek berdasarkan data pelaburan terkini yang diluluskan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) serta Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).
Dalam pada itu, Saarani berkata, berikutan prestasi dan budaya perbelanjaan berhemah dan bertanggungjawab, Perak merupakan antara lima negeri yang menerima Sijil Ketua Audit Negara Tanpa Teguran untuk Penyata Kewangan Kerajaan Negeri bagi Tahun Berakhir 31 Disember 2023.
Penjawat awam, ketua kampung Perak terima dua bulan bonus
IPOH - Kerajaan Negeri Perak mengumumkan Bantuan Khas Kewangan (BKK) sebanyak dua bulan gaji kepada semua penjawat awam di negeri ini dalam Belanjawan Negeri Perak 2025.
BKK tersebut juga akan turut dinikmati exco kerajaan negeri, Ex-Officio, semua guru lantikan negeri, Orang Besar Jajahan, ketua-ketua kampung serta kakitangan di bawah kontrak Program Malaysia Short-term Employment Programme (MySTEP).
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, pemberian tersebut berdasarkan gaji pokok November 2024 yang akan dibuat pada minggu terakhir Disember 2024.
"Saya amat menyanjung tinggi segala pengorbanan dan dedikasi yang dicurahkan oleh seluruh anggota pentadbiran dalam memastikan setiap tugas yang digalas, setiap amanah yang dipikul, akhirnya memberi makna kepada kehidupan rakyat.
"Sebagai tanda penghargaan di atas segala curahan bakti yang diberikan oleh seluruh kakitangan negeri Perak, saya mengumumkan BKK sebanyak dua bulan gaji," katanya ketika membentangkan belanjawan berkenaan sempena Mesyuarat Ketiga Tahun Kedua Dewan Negeri Perak di sini pada Jumaat.
Sementara itu, Saarani berkata, belanjawan yang dibentangkan itu bukan sahaja menjadi cerminan kepada kerjasama utuh antara negeri dan Persekutuan, tetapi menyerlahkan semangat perpaduan seluruh jentera pentadbiran di semua peringkat.
Jelasnya, seluruh jentera pentadbiran telah berpadu dengan penuh kesungguhan, keikhlasan dan semangat juang yang tidak mengenal lelah sehingga Perak kembali berdiri megah di landasan kemajuan.