JAKARTA - Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani menggesa kerjasama yang lebih erat antara Malaysia dan Indonesia bagi menangani cabaran kawal selia yang dihadapi oleh industri minyak sawit global.
Bercakap pada sidang media bersama selepas Mesyuarat Peringkat Menteri Majlis Negara-Negara Pengeluar Minyak Sawit (CPOPC) ke-12 pada Jumaat, menteri itu memberi amaran bahawa dasar perlindungan, termasuk Peraturan Produk Bebas Penebangan Hutan Kesatuan Eropah (EUDR), boleh membawa kepada halangan perdagangan.
Johari berkata, peranan CPOPC amat penting dalam mewujudkan strategi bagi memastikan layanan adil kepada pekebun-pekebun kecil, menambah baik akses pasaran dan menggalakkan amalan mampan dalam sektor itu.
"CPOPC merupakan platform penting untuk menangani kebimbangan alam sekitar sambil mematuhi peraturan global, memastikan manfaatnya dikongsi untuk kebaikan negara kita dan dunia,” katanya.
Johari turut menekankan kedudukan Indonesia sebagai pengeluar minyak sawit terbesar di dunia, dengan menyatakan penggunaan minyak sawit untuk biodiesel akan memberi kelebihan kepada komoditi berkenaan.
"Penerimaan global terhadap biodiesel adalah penting untuk memerangi perubahan iklim kerana ia telah membantu mengurangkan pelepasan dalam sektor tenaga," katanya.
Beliau menambah Indonesia dan Malaysia menyumbang lebih 70 peratus daripada pasaran minyak sawit global.
Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Menteri Penyelaras Hal Ehwal Ekonomi Indonesia, Airlangga Hartarto, turut menyaksikan kehadiran secara maya Menteri Pertanian dan Ternakan Honduras, Laura Suazo yang diwakili Timbalan Menteri, Lid Roy Lazo Rodríguez dan Menteri Perwakilan Congo untuk Kerjasama Antarabangsa, Bestine Kazadi Ditabala.
Pada sidang akhbar bersama, Airlangga menekankan Indonesia dan Malaysia sedang mengukuhkan kerjasama mereka untuk mengembangkan pasaran minyak sawit global dan menggalakkan kemampanan, dengan sokongan dari Honduras.
"Kerjasama yang lebih erat antara Indonesia, Malaysia dan Honduras adalah langkah strategik untuk memastikan kemampanan industri,” katanya.
Airlangga berkata, mesyuarat itu juga mengalu-alukan kerajaan Nigeria dan Congo sebagai negara pemerhati baharu, manakala Colombia, Ghana dan Papua New Guinea sedang dalam perbincangan untuk menjadi ahli penuh.
Beliau juga mengulangi komitmen Indonesia untuk menyokong matlamat CPOPC, termasuk memberi tumpuan kepada makanan, keselamatan, tenaga dan memajukan pembangunan hiliran industri minyak sawit.
"Melalui kerjasama yang kukuh, kami boleh membantu menjamin keperluan makanan dan tenaga global sambil mengurangkan pelepasan karbon," tambahnya.
Mesyuarat tahunan peringkat menteri CPOPC, yang menghimpunkan pemegang kepentingan utama daripada negara-negara anggota, pemerhati dan tetamu, diakhiri dengan Indonesia menyerahkan jawatan Pengerusi CPOPC kepada Malaysia untuk sesi 2024-2025. - Bernama