GEORGE TOWN - Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) bersiap sedia untuk mengaktifkan Pelan Respon Kecemasan (ERP) susulan peningkatan paras kekeruhan air Sungai Muda yang menjejaskan beberapa loji rawatan air (LRA) di Kedah.
Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP, Datuk K Pathmanathan berkata, pada 10 pagi tadi pihaknya dimaklumkan bahawa tahap kekeruhan air mentah yang diambil oleh PBAPP di muka sauk Lahar Tiang di Seberang Perai adalah 309.37 NTU (unit kekeruhan nephelometric).
"Sekiranya bacaan kekeruhan mencecah 1,000 NTU di Lahar Tiang hari ini atau esok, PBAPP akan mengurangkan pengambilan air mentah dari Sungai Muda di Lahar Tiang dan pengepaman air mentah Sungai Muda ke Terusan Sungai Dua, serta melepaskan air dari Empangan Mengkuang Diperbesarkan (EMD) untuk dialirkan ke Terusan Sungai Dua.
"Langkah 'mencampur’ air mentah dari Sungai Muda dengan air mentah daripada EMD akan menurunkan paras kekeruhan air mentah yang masuk ke LRA Sungai Dua. Isipadu air mentah yang dilepaskan dari EMD boleh diselaras dengan sewajarnya,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Beliau berkata, kedua-dua langkah itu bertujuan menghalang atau mengelak henti tugas di LRA Sungai Dua yang boleh memproses air mentah dengan selamat dengan tahap kekeruhan sehingga 1,000 NTU.
Pathmanathan berkata, sekiranya paras kekeruhan air mentah yang memasuki LRA Sungai Dua lebih tinggi daripada 1,000 NTU, PBAPP mungkin tidak mengeluarkan dan membekalkan air bersih yang selamat untuk kegunaan awam
Beliau berkata, LRA Sungai Dua mengeluarkan lebih 1,000 juta liter sehari (JLH) air terawat untuk dibekalkan kepada 465,000 pengguna air di Seberang Perai serta Daerah Timur Laut dan Daerah Barat Daya di bahagian pulau negeri ini.
Pathmanathan berkata, kakitangan kejuruteraan bekalan air sedang memantau bacaan kekeruhan air mentah dari Sungai Muda dengan teliti dan tindakan segera akan diambil sekiranya keadaan memerlukan.
"Kemas kini mengenai bacaan NTU di Lahar Tiang akan dimuat naik di laman Facebook PBAPP dan orang ramai akan dimaklumkan sekiranya ERP Sungai Dua diaktifkan,” katanya. - Bernama