IPOH - Enam warga asing ditahan di dua lokasi sangkar ikan menerusi Op Sangkar di sekitar Pulau Pangkor, Lumut, semalam.
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Perak, Kepten Maritim Mohamad Shukri Khotob berkata, kesemua ditahan berusia 31 hingga 54 tahun dan tidak mempunyai permit kerja serta tiada dokumen pengenalan diri yang sah.
"Hasil pemeriksaan sangkar pertama mendapati tiga lelaki warga Bangladesh dan Nepal bekerja di sangkar berkenaan dan tidak memiliki permit kerja serta tiada sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.
"Serbuan seterusnya dilakukan di sangkar kedua dan menahan tiga lelaki warga Bangladesh dan Nepal yang melakukan kesalahan sama,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Mohamad Shukri berkata, keenam-enam pendatang tanpa izin itu ditahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal di Malaysia tanpa dokumen pengenalan diri yang sah dan kesemua mereka dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Negeri Perak untuk siasatan lanjut.
Dalam kejadian berasingan, Mohamad Shukri berkata, pihaknya merampas 25 set bubu naga atau bubu kambang di kedudukan 1.6 batu nautika dari barat daya Pulau Talang, Perak kira-kira 8.05 pagi, semalam.
Menurut Mohamad Shukri, tinjauan secara dekat oleh anggota bot ronda mengesahkan bubu naga bersama bendera serta pelampung dipasang oleh individu atau kumpulan tidak bertanggungjawab.
"Kesemua bubu naga dianggarkan bernilai hampir RM2,000 dirampas dan kemudiannya diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut,” katanya.
Beliau berkata, pemilik bubu naga boleh didakwa di bawah Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan menggunakan kaedah yang tidak dibenarkan. - Bernama