Pegawai polis, isteri dipenjara perdagang, cedera pembantu rumah Indonesia

Iklan
Seorang pegawai polis dan isterinya masing-masing dijatuhi hukuman penjara 12 dan 10 tahun selepas didapati bersalah memperdagangkan pembantu rumah warga Indonesia mereka bagi eksploitasi kerja paksa sehingga wanita itu cedera parah. Gambar hiasan

KUALA LUMPUR - Seorang pegawai polis dan isterinya masing-masing dijatuhi hukuman penjara 12 dan 10 tahun oleh Mahkamah Sesyen Klang hari ini selepas didapati bersalah memperdagangkan pembantu rumah warga Indonesia mereka bagi eksploitasi kerja paksa sehingga wanita itu cedera parah.

Hakim Zulqarnain Hassan menjatuhi hukuman itu ke atas S Vijayan Rao, 40, dan K Rineshini Naidu, 37, selepas mendapati pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah.

Iklan
Iklan

"Berdasarkan gambar-gambar yang dikemukakan, jelas menunjukkan mangsa telah dicederakan. Melalui keterangan dan laporan perubatan pula, pakar forensik Hospital Kuala Lumpur Dr Siew Sheue Feng mendapati ada 20 kecederaan di kepala mangsa, leher (tiga), dada (lima), belakang (satu) dan enam masing-masing di tangan kanan serta kiri selain 42 parut di kepala, dua di dada, tujuh di belakang, dua di perut dan lapan di tangan kanan mangsa.

"Jelas selama hampir tiga tahun berada di negara ini adalah neraka buat mangsa. Amah bukan patung mainan, bukan juga jualan murah sebaliknya dia mempunyai perasaan, darah yang mengalir dan jantung yang berdenyut,” katanya.

Iklan

Beliau berkata, kesalahan memperdagangkan manusia yang berlaku di rumah seorang pegawai polis adalah bercanggah 180 darjah dengan uniform zahirnya dan hukuman setimpal wajar dikenakan.

Mahkamah turut memerintahkan kedua-dua tertuduh membayar pampasan RM80,000 kepada mangsa dalam tempoh sebulan dan jika gagal, mereka akan dipenjara selama enam bulan.

Iklan

Vijayan dan Rineshini didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Taman Industri Bolton, Gombak di sini pada 11 pagi antara Mac hingga 30 Ogos 2022 lepas mengikut Seksyen 13 (a) Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membwa hukuman penjara seumur hidup atau maksimum lima tahun dan boleh juga disebat.

Hakim Zulqarnain turut menjatuhi hukuman penjara empat tahun dan denda RM5,000 ke atas Rineshini kerana menyebabkan kecederaan parah kepada mangsa pada tempat, masa dan tarikh sama mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara tujuh tahun dan denda.

Vijayan turut dihukum penjara enam bulan dan denda RM25,000 kerana menggaji mangsa tanpa permit sah di lokasi sama pada Disember 2021 mengikut Seksyen 55B(1) Akta Imigresen 1959/63 yang membawa hukuman maksimum penjara 12 bulan atau denda minimum RM5,000 dan maksimum RM50,000 atau kedua-duanya.

Mahkamah memerintahkan hukuman penjara berjalan serentak bermula hari ini dan pasangan itu akan dipenjara empat bulan lagi jika gagal membayar denda.

Bagaimanapun, mahkamah membenarkan permohonan kedua-dua tertuduh untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara sementara rayuan di Mahkamah Tinggi selesai.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nurul'Ain Abu Bakar manakala Rineshini Naidu dan Vijayan Rao masing-masing diwakili peguam Kamarul Zaman Abdul Rahman dan A. Narainasami. - Bernama