KUALA LUMPUR - Meskipun berdepan situasi tidak menentu ekoran isu jangkitan koronavirus (Covid-19), Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia (MATA) tetap meneruskan promosi Pameran Pelancongan Malaysia (MTF) yang akan berlangsung pada 13 hingga 15 Mac di Pusat Dagangan Dunia (PWTC) di sini.
Presiden MATA, Datuk Mohd Khalid Harun berkata, pihaknya mengambil maklum dengan kegusaran ahlinya yang kehilangan tempahan pakej disebabkan Covid-19 dan berusaha untuk membantu mereka memasarkan produk-produk pelancongan menerusi pameran itu.
"Kami juga ingin memaklumkan bahawa Malaysia adalah selamat dikunjungi kerana setakat ini jangkitan COVID-19 tidak terlalu serius di negara ini dan masyarakat tidak perlu berasa panik.
"Kita tak boleh halang rakyat Malaysia untuk bercuti atau keluar dan masuk ke luar negara kerana masih ada negara lain yang tidak terjejas dengan Covid-19 ini.
"Oleh itu, menerusi pameran itu juga diharapkan dapat merancakkan kembali industri pelancongan negara khususnya domestik bagi menggalakkan rakyat Malaysia melancong di dalam negara selari dengan Tahun Melawat Malaysia 2020 (VM2020)," katanya pada sidang media MTF 2020 hari ini.
Mohd Khalid berkata, MTF kali ini dijangka berupaya menarik kehadiran seramai 110,000 pengunjung dengan jumlah transaksi sebanyak RM220 juta.
"Kami membuka peluang kepada mana-mana agensi pelancongan dan individu untuk menyertai MTF dengan menyediakan lebih daripada 1,500 booth kepada mereka.
"Selain itu, kami turut memperkenalkan hashtag #MalaysiaIsSafe bagi meyakinkan pelancong-pelancong tempatan dan asing untuk melanggan pakej-pakej menarik menerusi MTF,” katanya.
Timbalan Pengarah Tourism Malaysia Wilayah Tengah, Khairul Hilmi Abdul Manap berkata, penularan Covid-19 tidak menghalang pihaknya untuk meneruskan promosi VM2020 di dalam dan luar negara.
"Selain MTF, kami turut menyertai pameran pelancongan ITB (Internationale Tourismus-Börse Berlin) Berlin pada 6 hingga 10 Mac bagi mempromosikan VM2020,” katanya.
Mengenai tindakan saman Persatuan Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) berhubung sebutan akronim sama terhadap MATA, Mohd Khalid berkata:"Terpulang kepada mereka untuk saman ataupun tidak kerana kami merupakan persatuan berdaftar dengan RoS (Pendaftar Pertubuhan) dan tiada isu pun jika namanya hampir sama.
"Kita tidak boleh terasing dalam industri ini dan kita patut saling membantu antara satu sama lain untuk meningkatkan ekonomi kita menerusi pelancongan...kadi jika mereka masih mahu saman, kami akan serah kepada peguam,” katanya.
Pada 5 Januari lepas, Setiausaha Agung MATTA, Nigel Wong dalam satu kenyataan berkata pihaknya akan mengambil tindakan undang-undang terhadap MATA dan telah mengeluarkan surat tuntutan atas dakwaan menceroboh nama dan tanda niaga MATTA dan menuntut agar MATA menghentikan perbuatan itu. - Bernama