HULU TERENGGANU - Dua beradik yang terperangkap di bawah runtuhan tanah menimpa sebuah rumah dekat Kampung Bukit Apit, Ajil di sini pada petang Jumaat disahkan meninggal dunia manakala seorang lagi mangsa terselamat.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu, Hassan 'As'ari Omar berkata, mangsa yang maut dikenali sebagai Puteri Sajidah Azman, 16 dan Siti Fatimah Azman, 13, manakala seorang lagi mangsa iaitu Uzair Azman, 17, berjaya diselamatkan dan mengalami kecederaan.
Menurutnya, ketiga-tiga mangsa dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk rawatan dan proses bedah siasat.
"Pihak bomba menerima panggilan jam 4. 59 petang dimana mangsa pertama seorang lelaki yang cedera dijumpai jam 5.17 petang, mangsa kedua dijumpai jam 6.32 petang dan mangsa ketiga jam 6.59 petang.
"Operasi mencari dan menyelamat mangsa disertai seramai 36 pegawai dan anggota ditamatkan jam 7 malam tadi," katanya.