KUALA LUMPUR - Bilangan mangsa di lapan negeri terjejas banjir terus meningkat manakala di Perak tidak berubah dan setakat 8 malam ini, jumlah mangsa berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) adalah seramai 106,505 orang.
Di KELANTAN, jumlah mangsa banjir mencecah 72,360 orang yang ditempatkan di 261 PPS pada malam ini berbanding 65,993 orang petang tadi.
Menurut Portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat, daerah Pasir Mas mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 23,680 orang di 58 PPS, diikuti Tumpat (12,888 mangsa, 26 PPS); Kota Bharu (10,095 mangsa, 42 PPS); Kuala Krai (5,606 mangsa, 41 PPS); Tanah Merah (4,727 mangsa, 27 PPS) dan Bachok (3,041 mangsa, 11 PPS).
Turut terkesan Pasir Puteh dengan 7,333 mangsa di 31 PPS, Machang (4,580 mangsa, 21 PPS); Jeli (379 mangsa, tiga PPS) dan Gua Musang (31 mangsa, sebuah PPS).
Portal Jabatan Pengaliran dan Saliran melaporkan beberapa sungai utama di Kelantan mencatatkan bacaan melepasi paras bahaya setakat malam ini, antaranya Sungai Lanas di Jeli dengan bacaan 29.74 meter (m) dan Sungai Kelantan di Tambatan Diraja pada paras 5.53m.
Di TERENGGANU, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri dalam kenyataan memaklumkan bilangan mangsa banjir kini meningkat kepada 24,754 orang malam ini berbanding 22,511 orang petang tadi.
Besut merekodkan seramai 11,842 mangsa yang berlindung di 107 PPS diikuti Setiu (5,141 mangsa, 50 PPS), Hulu Terengganu (4,666 mangsa, 53 PPS), Kemaman (1,455 mangsa, 15 PPS), Dungun (880 mangsa, 21 PPS), Marang (564 mangsa, sembilan PPS) dan Kuala Nerus (206 mangsa, empat PPS).
Dalam pada itu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Terengganu mengeluarkan amaran awal mengenai kenaikan semula aras air, antaranya membabitkan lembangan Sungai Besut; lembangan Sungai Kampung La di Besut dan lembangan Sungai Chalok di Setiu.
Sehubungan itu, kawasan-kawasan rendah dan berhampiran sungai berpotensi kembali dilanda banjir, menurut JPS Terengganu menerusi kenyataan.
Di KEDAH, Timbalan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Kedah Mejar (PA) Muhammad Suhaimi Mohd Zain berkata, setakat jam 8 malam ini, jumlah mangsa banjir adalah 6,037 orang berbanding 5,701 orang petang tadi, dengan 49 PPS telah beroperasi membabitkan Kubang Pasu, Padang Terap, Kota Setar, Sik, Pokok Sena dan Kuala Muda.
Di JOHOR, jumlah mangsa banjir turut merekodkan peningkatan iaitu 305 orang setakat jam 8 malam ini berbanding 184 orang pada jam 4 petang tadi dengan enam PPS beroperasi di Segamat dan Tangkak, sementara di MELAKA, jumlah mangsa terus meningkat kepada 167 orang pada 8 malam ini daripada 84 orang sebelah petang tadi.
Di SELANGOR, dua PPS di Klang masih beroperasi dengan kenaikan jumlah mangsa yang berlindung di PPS itu seramai 487 orang membabitkan 111 keluarga setakat malam ini, berbanding 312 orang yang melibatkan 77 keluarga petang tadi.
Di NEGERI SEMBILAN, laman sesawang Info Bencana JKM melaporkan mangsa banjir terus meningkat kepada 2,000 orang daripada 544 keluarga yang ditempatkan di 21 PPS membabitkan empat daerah iaitu Kuala Pilah, Tampin, Jempol dan Port Dickson setakat 8 malam ini.
Sementara itu, Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun dalam kenyataan berkata, pihaknya telah menyelaraskan bantuan untuk seluruh mangsa banjir bersama agensi terlibat selain menasihatkan agar tidak kembali ke rumah selagi belum mendapat makluman pihak berkuasa.
Di PERLIS, mangsa banjir meningkat kepada 496 orang daripada 144 keluarga setakat 8 malam ini, berbanding 485 orang daripada 143 keluarga petang tadi dengan kesemua mereka ditempatkan di empat PPS membabitkan daerah Arau, Padang Besar dan Kangar.
Situasi banjir di PERAK pula tidak menunjukkan sebarang perubahan sejak 4 petang tadi apabila jumlah mangsa kekal seramai 20 orang melibatkan tujuh keluarga yang ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Parit Haji Aman, Kerian, setakat 8 malam ini.
Sementara itu, laporan terkini kejadian bencana di seluruh negara yang dikeluarkan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara malam ini memaklumkan tiga kematian dilaporkan setakat ini dengan dua daripadanya di Kelantan iaitu di Pasir Puteh dan Machang manakala satu lagi di Besut, Terengganu. - Bernama