SHAH ALAM - Kelab gergasi Liga Perdana Inggeris, Manchester United mencuri tumpuan khususnya peminat bola sepak di negara ini apabila menitipkan doa kepada rakyat Malaysia terutamanya mangsa banjir yang terjejas akibat bencana alam itu.
Lebih bermakna lagi, pesanan dibuat kelab berkenaan menerusi laman Facebook rasminya pada Jumaat menggunakan bahasa Melayu.
"Kepada rakyat Malaysia, jaga diri pada musim hujan ini.
"Kami sentiasa di belakang anda rakyat Malaysia!
"Kepada mangsa banjir yang terjejas, semoga dapat mengatasi cabaran ini dengan baik dan selamat," tulis kelab berkenaan.
Tinjauan Sinar Harian di laman Facebook rasmi kelab berkenaan mendapati pengikutnya kini berjumlah 84 juta dan 75 juta tanda suka.
Portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) setakat jam 9 malam Jumaat menunjukkan situasi banjir di negara ini semakin buruk apabila mangsa di sembilan negeri terjejas, kini melepasi angka 102,000 orang.
Berdasarkan maklumat portal itu, ia menunjukkan seramai 102,253 orang daripada 31,231 keluarga ditempatkan di 643 pusat pemindahan sementara (PPS).