PERSATUAN Angkat Berat Malaysia (PABM) mula mencongak strategi ampuh dalam misi negara untuk mengecapi kejayaan lebih baik pada Sukan Komanwel Glasgow 2026.
Langkah yang sudah dibuat antaranya menukar kategori atlet angkat berat negara, Muhamad Aznil Bidin yang kembali beraksi dalam kategori 67 kilogram (kg).
Badang itu sebelum ini bersaing dalam kategori sama dengan seorang lagi jaguh angkat berat negara, Mohamad Aniq Kasdan iaitu 61kg.
Naib Presiden PABM, Amirul Hamizan Ibrahim berkata, selepas berakhir Sukan Olimpik Paris 2024, Aznil tidak lagi beraksi dalam kategori 61kg, sebaliknya menyertai kategori 67kg pada Kejohanan Angkat Berat Komanwel di Suva, Fiji, September lalu.
"Kami memikirkan cara untuk memperkuatkan pasukan, jadi Aznil sudah sertai kategori 67kg dan Aniq masih kategori 61kg. Ini semua adalah untuk percaturan di Sukan Komanwel Glasgow nanti.
"Kami tidak mahu ada persaingan hebat (dalam kategori sama) kerana kedua-dua angkatan (Aznil dan Aniq) lebih kurang sama. Jadi kita pecahkan kepada dua kategori.
"Aznil sudah mencuba (kategori 67kg) di kejohanan dekat Fiji. Kami lihat prestasinya sangat bagus dan dapat memperbaiki angkatannya,” katanya.
Sukan angkat berat menjadi antara prospek buat kontinjen negara untuk mengutip pingat emas di Glasgow selepas beberapa sukan yang mampu menyumbang pingat seperti badminton dan skuasy tidak dipertandingkan pada temasya tersebut.
Sebagai rekod, pada edisi Birmingham 2022 di England, angkat berat menyumbangkan dua emas dan satu perak daripada jumlah keseluruhan yang diraih kontinjen negara iaitu tujuh emas, lapan perak dan lapan gangsa.
Emas disumbangkan oleh Aniq dalam kategori 55kg dan Aznil (61kg), manakala pingat perak diraih Muhammad Erry Hidayat dalam kategori 73kg.