Banjir di Kelantan makin memburuk, 80,163 mangsa dipindahkan

Iklan
Penduduk memantau keadaan banjir di sekitar tempat tinggal mereka berikutan hujan berterusan sejak beberapa hari lepas di Kampung Lati hari ini. Foto Bernama

KOTA BHARU - Selepas lima hari berlalu, jumlah mangsa banjir di Kelantan semakin bertambah apabila seramai 80,163 orang telah dipindahkan ke 279 pusat pemindahan sementera (PPS) di seluruh negeri pada jam 7 pagi, Sabtu.

Jajahan Pasir Mas kekal mencatatkan mangsa tertinggi seramai 24,890 orang, diikuti Tumpat (13,429), Kota Bharu (10,885), Pasir Puteh (8,372), Kuala Krai (5,865), Machang (5,734), Bachok(5,481), Tanah Merah (4,837), Jeli (639) dan Gua Musang (31).

Iklan
Iklan

Sementara itu 10 sungai di Kelantan berada pada paras bahaya iaitu Sungai Kelantan di Kuala Krai, Sungai Lanas (Jeli), Sungai Kelantan (Kursial Baru, Tanah Merah), Sungai Kelantan (Kursial,Tanah Merah), Sungai Kelantan (Temangan,Machang), Sungai Golok (Rantau Panjang), Sungai Kelantan (Tambatan Diraja, Kota Bharu), Sungai Golok (Kuala Jambu, Tumpat), Sungai Melor di Jambatan Melor (Bachok) dan Sungai Semerak (Pasir Puteh).

Penduduk ceria walaupun keadaan paras air banjir tinggi di sekitar tempat tinggal mereka berikutan hujan berterusan sejak beberapa hari lepas di Kampung Lati. Foto Bernama

Seorang penduduk di Pasir Pekan Tengah, Tumpat, Norazila Abdullah, 38, berkata, rumahnya yang terletak berhampiran Sungai Kelantan telah dimasuki air bermula jam 2 pagi tadi.

Iklan

"Walaupun rumah kami dua tingkat, namun jika dilihat kepada trend air sekarang ia seperti cepat naik.

"Pagi tadi mujurlah anak berusia 10 tahun telah terjaga dan memberitahu saya air sudah masuk ke dalam rumah. Jika tidak berkemungkinan besar saya dan keluarga tidur dalam air," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Norazila berkongsi keadaan terkini di dalam rumahnya di Pasir Pekan Tengah, Tumpat pada Sabtu.

Iklan

Menurut dia, peralatan elektrik seperti mesin basuh, peti sejuk sudah ditenggelami air dan tidak sempat untuk dialihkan.

Ujarnya, dia tidak menyangka air akan naik secepat ini dan ketika ini buntu memikirkan nasib lima anak berusia 10 bulan hingga 12 tahun.

Norazila memberitahu, hal ini kerana dua anaknya masih bergantung kepada susu dan tiga darinya pula perlukan lampin pakai buang.

"Saya berharap, air Sungai Kelantan tidak naik mendadak dan akan surut segera," katanya.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kelantan, Pengarah APM Kelantan, Mohd Adzhar Mujab berkata, sekiranya hujan lebat dan paras air semakin meningkat orang ramai dinasihat untuk berpindah segera.

Menurut beliau, jangan tunggu saat akhir baharu ingin pindah serta bawa dokumen penting, ubat-ubatan dan bekalan asas bersama.

"Pindah segera demi selamatkan nyawa," katanya.