Lelaki dicekup ketika jual jam tangan Rolex dicuri

Iklan
Gambar hiasan.

SUBANG JAYA - Tindakan seorang lelaki menjual semula jam tangan berjenama Rolex yang dicurinya, minggu lalu mengundang padah apabila diberkas di sebuah pusat beli-belah di ibu kota pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, suspek sebelum ini dikesan selepas dilaporkan menyamar sebagai pelanggan sebelum mencuri jam itu di sebuah premis menjual barangan berjenama di kawasan SS 16, Subang Jaya.

Iklan
Iklan

"Suspek kemudiannya ditahan kira-kira jam 4.15 petang pada Jumaat serta didapati ingin menjual jam itu di sebuah kedai barangan berjenama dengan harga RM25,000," katanya menerusi kenyataan pada Sabtu.

Katanya, suspek ditahan merupakan lelaki tempatan berumur 44 tahun.

Iklan

"Semakan lanjut mendapati suspek memiliki dua rekod jenayah lampau namun tidak dikehendaki.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan," katanya.

Iklan

Menurutnya, suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Shah Alam untuk permohonan reman.

Sinar Harian pada Jumaat lalu melaporkan seorang lelaki menyamar sebagai pelanggan sebelum melarikan jam tangan berjenama Rolex di sebuah premis menjual barangan berjenama di kawasan SS 16.

Wan Azlan berkata, suspek sebelum itu menyatakan telah membuat temu janji menerusi khidmat pesanan ringkas selain bertanyakan berkaitan beberapa barangan yang dijual.

Ujarnya, suspek kemudiannya memberi alasan mahu mengambil majikan di tingkat bawah sebelum bergegas keluar dari kedai itu.

Jelasnya, kejadian kemudiannya disedari pekerja premis itu sebelum melaporkan kehilangan jam tangan berkenaan kepada pihak polis.