SHAH ALAM - Seorang pemuda yang juga jurutera lepasan sebuah universiti di Jepun nekad meninggalkan kerjaya itu demi menjaga ibunya sakit.
Mohd Amiruddin Ahmad Moktar, 38, berkata, keputusan tersebut diambil ketika menyedari kesihatan ibunya semakin merosot sekitar 2015.
Menurutnya, pada masa itu ibunya, Latipah Ibrahim, 69, masih boleh menguruskan diri sendiri, namun perlu menggunakan kerusi roda sepenuhnya untuk bergerak.
Katanya, menjaga ibu yang sihat dan sakit adalah dua situasi berbeza di mana ia memerlukan kesabaran tinggi dan jangan sesekali meninggikan suara.
"Ibu yang sakit dan uzur akan berubah menjadi perangai seperti kanak-kanak yang perlukan perhatian serta belaian.
"Ibu yang sakit perlu dipujuk, dirayu untuk makan contohnya, semua itu memerlukan kesabaran yang tinggi.
"Macam kita budak-budak dulu, begitulah kitaran waktu, bila kita dah besar kita pula yang akan melayan kerenah mereka," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Tambah Amiruddin, selepas membuat keputusan drastik berhenti kerja, dia memilih untuk membawa ibu tercinta menetap bersama di Kuala Lumpur.
Katanya, selepas berhenti kerja, dia mempunyai masa lebih fleksibel untuk menjaga ibu di samping menjalankan perniagaan dalam talian.
"Pada mulanya saya rasa takut sebab hanya seorang diri di sini, tapi dengan adanya sokongan moral daripada keluarga dan kawan-kawan, saya berjaya mengharunginya.
"Alhamdulillah sebagai anak bongsu, saya memang sangat manja dengan mak dan syukur mak juga suka tinggal bersama saya," ujarnya.
Menurut Amiruddin, dia tidak membuat sistem giliran untuk menjaga ibu kerana adik-beradiknya yang lain menetap di Kedah.
Ujarnya, adik-beradik diminta datang sekiranya ada kelapangan dan ketika ibunya itu terpaksa dimasukkan ke wad kerana dirinya memerlukan kekuatan daripada keluarga pada waktu-waktu berkenaan.
Jelas peniaga minyak wangi dalam talian itu, rakan sekeliling sangat positif sekali gus banyak menghulurkan bantuan kerana memahami situasi dirinya.
Bagaimanapun, menurut pemuda berkenaan, dia telah kehilangan syurganya itu pada 24 November lalu akibat Aspiration Pneumonia.
"Setelah ibu meninggal, saya rasa puas kerana sudah berkhidmat sehabis baik menjaganya.
"Yang hadir kini hanya rindu yang amat dalam seperti suap makan, beri ubat, tukar lampin dan sebagainya.
"Buat mereka yang masih ada ibu, mak hanya seorang, hilangnya tiada pengganti, jagalah mereka dengan baik supaya tidak timbul rasa kekesalan dalam diri kelak," pesannya.
Ditanya tentang nasihat yang boleh dititipkan kepada individu sedang berdepan situasi sama, katanya, sabar merupakan kata kunci paling keramat yang perlu dipegang sampai bila-bila.
Ujar Amiruddin, anak-anak tidak akan menang di dunia mahupun akhirat sekiranya meninggikan suara atau melawan cakap ibu bapa.
"Saya setiap hari meminta maaf pada mak, mohon keredaan dan diberkati hidup, halalkan segala makan minum serta susunya.
"Alhamdulillah, hidup saya sangat tenang dan segala urusan kerja serta peribadi turut dipermudahkan ALLAH," katanya.