KUALA KRAI - Seramai 14 penduduk di Kampung Laloh, Jalan Lata Rek di sini diarahkan berpindah segera berikutan tanah runtuh yang berlaku kira-kira jam 9.56 malam pada Jumaat.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Krai, Pegawai Bomba Kanan II Khairul Duha Abdul Halim berkata, hasil pemeriksaan yang dilakukan mendapati kawasan tersebut sudah tidak selamat untuk diduduki.
"Hal ini kerana tanah runtuh berserta aliran air telah menyebabkan dinding di belakang dua buah rumah serta bengkel kereta runtuh.
"Saya dimaklum oleh salah seorang penduduk memberitahu kejadian tersebut disedari sejak jam 7 petang lagi.
"Takut melihat situasi terbabit, kesemua penghuni di dua buah rumah serta bengkel seramai 10 orang itu telah keluar menumpang di rumah saudara mara.
"Tanggapan mereka betul apabila tidak sampai tiga jam tanah runtuh menimpa bahagian belakang dua rumah serta bengkel tersebut," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Sabtu.
Menurut beliau, empat lagi penduduk daripada dua rumah berhampiran kawasan kejadian turut diarahkan berpindah kerana bimbang situasi terbabit akan lebih buruk ekoran hujan tanpa henti.
Ujarnya, kesemua mereka dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Laloh.
Khairul Duha memberitahu, kes ini telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.