Penunggang 'rambo' paling ramai dikesan di jalan raya

Iklan
Penunggang motosikal ditahan untuk pemeriksaan dalam Ops Khas Motosikal di Jalan Bangsar pada Jumaat.

KUALA LUMPUR - Tiada lesen memandu merekodkan kesalahan tertinggi dikesan dalam tempoh hampir sebulan Operasi Khas Motosikal dijalankan sehingga Jumaat.

Statistik mencatatkan sebanyak 22,601 kes melibatkan kesalahan berkenaan sepanjang 29 hari operasi ini dijalankan di seluruh negara.

Iklan
Iklan

Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi) JPJ, Datuk Jazmanie Shafawi berkata, operasi ini melibatkan pemeriksaan sebanyak 304,552 motosikal.

Beliau berkata, operasi khas motosikal ini turut melibatkan pelbagai agensi antaranya Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Pemeriksaan dijalankan melibatkan pelanggaran Akta Pengangkutan Jalan 1982 dalam Operasi Khas Motosikal pada Jumaat.

Iklan

"Selain itu, kesalahan lain turut dicatatkan adalah kesalahan nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi (4,699), lesen memandu tamat tempoh (1,606) dan penunggang bawah umur (167)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar Operasi Khas Motosikal di Jalan Bangsar pada Sabtu.

Iklan

Katanya, operasi sama turut melibatkan 78,152 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan melibatkan pemandu serta penunggang motosikal.

"Selain itu, sebanyak 1,530 saman dikeluarkan terhadap pemandu atau penunggang motosikal yang melibatkan warga asing (PeWA).

"Sitaan turut melibatkan 2,125 motosikal atas pelbagai kesalahan serta saringan juga dijalankan melibatkan seramai 234 penunggang motosikal dan hasilnya 34 daripada keseluruhan jumlah ini didapati positif dadah," katanya.

Menurutnya, Operasi Khas Motosikal dilaksanakan bagi memantau dan mengambil tindakan terhadap penunggang yang gagal mematuhi peraturan ditetapkan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333).

Jazmanie (tiga dari kiri) ketika Operasi Khas Motosikal di Jalan Bangsar pada Jumaat.

"JPJ tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pemandu atau pembonceng motosikal yang gagal mematuhi peraturan jalan raya.

"Semua pengguna terutamanya penunggang motosikal dinasihatkan sentiasa mematuhi undang-undang lalu lintas bagi meminimumkan kadar kemalangan dan kematian akibat nahas jalan raya," katanya.

Ujarnya, pengguna turut diseru untuk melaporkan aduan berkaitan kesalahan lalu lintas secara terus menerusi aplikasi MyJPJ.

"Aduan boleh disalurkan dengan menggunakan Aplikasi MyJPJ: e-Aduan@JPJ atau emel kepada aduantrafik@jpj.gov.my beserta dengan butiran lengkap aduan," katanya.