Kesemua daerah di Terengganu dilanda banjir, 34,682 mangsa dipindahkan

Iklan
Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) negeri Terengganu membantu memindahkan mangsa banjir yang terjejas Foto: APM Terengganu

KUALA TERENGGANU - Keadaan banjir di Terengganu semakin buruk apabila kesemua daerah di negeri ini dilanda banjir dengan jumlah mangsa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) meningkat mendadak kepada 34,682 orang berbanding seramai 20,754 direkodkan pada Jumaat.

Sehingga jam 6 pagi pada Sabtu, sebanyak 327 PPS telah diaktifkan bagi menempatkan seramai 9,562 keluarga yang terjejas banjir di kesemua daerah tersebut.

Iklan
Iklan

Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu (JPBNT), Kuala Terengganu merupakah daerah terbaharu yang dilanda banjir dengan merekodkan seramai 830 mangsa dari 225 keluarga yang ditempatkan di empat PPS di daerah tersebut.

Berdasarkan statistik, daerah Besut merekodkan jumlah mangsa banjir paling ramai iaitu 13,930 mangsa daripada 3,683 keluarga ditempatkan di 117 PPS di daerah tersebut.

Iklan

Bagi daerah Hulu Terengganu, seramai 5,798 mangsa daripada 1,772 keluarga dipindahkan ke 62 PPS.

Selain itu, di daerah Setiu, seramai 5,820 mangsa daripada 1,592 keluarga dipindahkan ke 53 PPS.

Iklan

Daerah Kemaman pula turut menunjukkan peningkatan mangsa banjir dengan seramai 3,554 mangsa daripada 1,009 keluarga dipindahkan ke 33 PPS.

Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) negeri Terengganu membantu memindahkan mangsa banjir yang terjejas. Foto: APM Terengganu

Jumlah mangsa banjir di daerah Marang menunjukkan peningkatan dengan seramai 670 mangsa daripada 117 keluarga dipindahkan ke sembilan PPS.

Bagi daerah Kuala Nerus, seramai 588 mangsa daripada 152 keluarga dipindahkan ke lima PPS.

Sementara itu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melalui portal https://publicinfobanjir.water.gov.my/aras-air pula melaporkan sebanyak 15 sungai seluruh Terengganu telah melepasi paras bahaya setakat jam 8 pagi ini.

Dua stesen di daerah Besut merekodkan bacaan melepasi paras bahaya di dua sungai iaitu di Jambatan Keruak dan Kampung La.

Bagi daerah Setiu pula, Sungai Nerus di Kampung Bukit dan Sungai Setiu di Jambatan Permaisurimerekodkan air melepasi paras bahaya.

Dua sungai di Hulu Terengganu melepasi paras bahaya ialah Sungai Berang di Kampung Menerong, Sungai Telemong di Kampung Ping, Sungai Terengganu di Rumah Pam Pulau Bahagia manakala di Kuala Terengganu, ialah Sungai Terengganu di Muzium Terengganu.

Selain itu, sebanyak dua sungai yang melepasi paras bahaya di Kuala Nerus iaitu Sungai Nerus di Kampung Jeram dan parit utama di Padang Kemunting.

Di Marang pula melibatkan Sungai Marang di Jambatan Pengkalan Berang.

Bagi daerah Dungun, dua sungai merekodkan paras air bahaya iaitu Sungai Dungun di Jambatan Jerangau dan Sungai Dungun di Kuala Jengai.

Daerah Kemaman pula, Sungai Kemaman di Rumah Pam Paya Paman dan Sungai Tebak di Jambatan Tebak merekodkan paras bahaya.