SHAH ALAM – Tiada badan penguat kuasa yang boleh terlepas atau kebal daripada siasatan Akta Suruhanjaya Integriti Penguatkuasaan (EAIC).
Pegawai Undang-Undang, Bahagian Operasi EAIC, Nura Ashikin Mior Muhamad Sharudin menegaskan, Akta Suruhanjaya Integriti Penguatkuasaan 2009 (Akta 700), EAIC boleh menyiasat semua pegawai penguat kuasa di bawah seliaan EAIC tanpa mengira pangkat, jawatan atau gred.
Menurutnya, ini bermakna tiada siapa yang terlepas daripada siasatan jika mereka terbukti terlibat dalam salah laku.
"Dalam tugas kami, tiada yang kebal daripada siasatan. Malah, sekiranya salah laku itu turut dilakukan di luar waktu bertugas atau ia dilakukan bersama-sama pegawai penguat kuasa bukan seliaan EAIC, ia masih boleh disiasat oleh EAIC.
"Manakala aduan-aduan yang melibatkan pegawai atau agensi yang berada di luar kawalan EAIC akan kami salurkan kepada pihak yang berkaitan seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk kes rasuah atau unit integriti agensi tersebut untuk kes tatatertib,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Jelasnya, sebanyak 21 agensi yang mempunyai pegawai penguat kuasa berada di bawah seliaan EAIC termasuklah Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Pendaftaran Negara, Agensi Antidadah Kebangsaan dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara.
"Sebagai badan penyiasat, EAIC dilengkapi dengan kuasa yang luas untuk menjalankan siasatan.
"Selain kuasa penyiasatan untuk mendapatkan keterangan daripada saksi dan dokumen penting, EAIC melalui Pasukan Petugas turut memiliki kuasa-kuasa penyiasatan di bawah Kanun Tatacara Jenayah seperti Polis.
"EAIC juga boleh menjalankan pengeledahan dan penyitaan, di bawah peruntukan Akta 700. Ini memastikan setiap siasatan yang kami jalankan dapat dilakukan dengan cara yang sah dan menyeluruh,” katanya.
Tambahnya, setiap hasil siasatan yang dikendalikan oleh Pegawai Siasatan EAIC akan dikemukakan kepada Mesyuarat Suruhanjaya untuk keputusan lanjut dan sekiranya didapati terdapat salah laku, EAIC akan mengemukakan syor tindakan yang perlu diambil, termasuk tindakan tatatertib atau undang-undang yang sewajarnya.
"Ini adalah langkah penting dalam memastikan tiada individu yang terlibat dalam salah laku dibiarkan tanpa tanggungjawab.
"Setiap aduan yang diterima kami tangani dengan penuh dedikasi, memastikan setiap tindakan yang kami ambil adalah untuk kebaikan rakyat dan negara,” ujarnya.
Tegasnya, sebagai pegawai siasatan, EAIC memahami bahawa integriti dan ketelusan ini adalah asas bagi mengekalkan kepercayaan masyarakat terhadap agensi penguat kuasa.
"EAIC memainkan peranan yang amat penting dalam memastikan integriti agensi penguatkuasaan di Malaysia berada pada tahap tertinggi.
"Dalam menjalankan tugas sebagai pegawai siasatan di EAIC, kami memahami bahawa kepercayaan awam terhadap agensi penguat kuasa bergantung sepenuhnya kepada bagaimana kami menangani setiap aduan dan menjalankan siasatan.
Tambahnya lagi, masyarakat perlu diyakinkan bahawa siasatan yang dijalankan adalah telus, bebas daripada pengaruh luar dan berlandaskan prinsip keadilan.
"Di sinilah peranan kami sebagai pegawai siasatan untuk memastikan setiap aduan ditangani secara profesional, tanpa kompromi.
"Ini adalah langkah penting dalam memastikan tiada individu yang terlibat dalam salah laku dibiarkan tanpa tanggungjawab,” ujarnya.
Sebagai badan penyiasat, beliau berkata, EAIC dilengkapi dengan kuasa yang luas untuk menjalankan siasatan.
"Selain kuasa penyiasatan untuk mendapatkan keterangan daripada saksi dan dokumen penting, EAIC melalui pasukan petugas turut memiliki kuasa-kuasa penyiasatan di bawah Kanun Tatacara Jenayah seperti polis.
"EAIC juga boleh menjalankan pengeledahan dan penyitaan, di bawah peruntukan Akta 700. Ini memastikan setiap siasatan yang kami jalankan dapat dilakukan dengan cara yang sah dan menyeluruh.
"Sekiranya didapati terdapat salah laku, EAIC akan mengemukakan syor tindakan yang perlu diambil, termasuk tindakan tatatertib atau undang-undang yang sewajarnya,” katanya.
INFO
21 agensi di bawah seliaan EAIC
Agensi Antidadah Kebangsaan
Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia
Jabatan Sukarelawan Malaysia, Jabatan Alam Sekitar
Jabatan Imigresen Malaysia
Jabatan Kastam Diraja Malaysia
Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan
Jabatan Pendaftaran Negara, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia
Jabatan Pengangkutan Jalan
Jabatan Perhubungan Perusahaan
Jabatan Perikanan Malaysia
Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara
Jabatan Tenaga Kerja, Kementerian Kesihatan (Bahagian Penguatkuasaan)
Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Bahagian Pelesenan Pelancongan)
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (Bahagian Penguatkuasaan) Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (Bahagian Penguatkuasaan)
Pendaftar Perniagaan
Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (Sabah dan Sarawak)