RANTAU PANJANG - Penduduk di sini mendakwa banjir yang berlaku kali ini lebih buruk jika dibandingkan pada 2014 apabila air masih bertahan walaupun sudah lima hari berlalu sehingga mereka terpaksa hidup tanpa bekalan elektrik serta bekalan makanan yang hampir kehabisan.
Penduduk Pekan Rantau Panjang, Fadhli Mat Yusof, 53, berkata, pengalaman banjir sebelum ini tiga hari air sudah beransur surut perlahan-lahan, namun melihat keadaan sekarang dengan hujan masih berterusan ia mungkin akan mengambil masa lebih lama.
"Bekalan makanan hanya bertahan sehingga esok, elektrik pula sudah dua hari terputus.
"Saya berharap jika ada pihak yang ingin datang menghulurkan bantuan makanan boleh terus ke Pintu 2 Kastam Rantau Panjang kerana di sini ramai penduduk yang tidak berpindah kerana rumah tinggi," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
Dalam pada itu, penduduk Kampung Kubang Rambutan, Abdul Fathi Mat Yeh, 30, pula memberitahu dia serta 13 lagi ahli keluarganya terpaksa tinggal di atas katil ekoran air mulai melimpah ke dalam rumah sedalam 0.3 meter.
"Sepanjang kami tinggal di sini tidak pernah rumah dimasuki air kerana telah dibina tinggi. Namun banjir kali ini sangat luar biasa apabila air di luar rumah mencecah dua meter lebih.
"Setakat ini elektrik sudah dua hari terputus dan hanya berharap kepada generator yang dipinjam daripada saudara mara. Alhamdulillah bekalan makanan masih ada," katanya.
Menurutnya, mereka sekeluarga yang berusia antara 5 bulan hingga 78 tahun berdoa agar hujan berhenti dan air cepat surut.
Sementara itu, penduduk Kampung Siram, Rosli Ibrahim, 52, pula mengakui terkejut dengan peningkatan paras air Sungai Golok yang naik mendadak ketika ini.
Katanya, ini merupakan kali pertama dia dan keluarga terpaksa berpindah ke PPS (pusat pemindahan sementara).
"Rumah saya sudah dibina tinggi, namun kali ini ditenggelami banjir hampir dua meter. Belum pernah berdepan situasi ini.
"Melihat kepada cuaca, saya jangka seminggu akan menghuni PPS," katanya.