KUANTAN - Paras air sungai di Pahang meningkat dengan satu lokasi mencapai tahap bahaya, dua amaran dan lapan lagi waspada.
Berdasarkan di laman Infobanjir, Sungai Pahang di Lubuk Paku, Maran mencatatkan paras air 19.12 meter (m) melebihi tahap kritikal 19m.
Trend kenaikan paras air sebanyak 0.12 m ini menimbulkan kebimbangan berlakunya banjir di kawasan terbabit.
Sementara itu, Sungai Pahang di Waterfront, Bera dan Sungai Jempol di Jengka 5, Maran pula masing-masing mencatatkan paras 27.1 m dan 30.2 m melebihi tahap amaran 27 mdan 30 m.
Paras air di kedua-dua lokasi menunjukkan trend menurun manakala lapan lokasi lain kini berada pada tahap waspada.
Antaranya ialah Sungai Kundang di Maran, dengan paras air 19.67 m, Sungai Pahang di Jerantut Feri dan Sungai Pahang di Kuala Tembeling, Jerantut, yang masing-masing mencatatkan paras 45.98 m dan 49.27 m
Situasi serupa turut dilaporkan di Sungai Tembeling di Kuala Tahan, Jerantut (64.57 m), Sungai Pahang di Kampung Chenor, Maran (21.46 m), Sungai Keratong di Rompin (20.99 m), Sungai Pahang di Lubuk Pasu, Temerloh (29.55 m), dan Sungai Belat di Sri Damai, Kuantan (3.53 m).
Walaupun beberapa lokasi menunjukkan trend penurunan paras air, masih terdapat kawasan yang mencatatkan trend menaik seperti di Kampung Chenor, Kuala Tahan dan Rompin.
Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) mengeluarkan amaran hujan lebat berterusan di beberapa daerah, termasuk Jerantut, Maran, Kuantan, Pekan, dan Rompin, hingga Sabtu ini.
Amaran hujan berterusan waspada juga dikeluarkan di Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Raub, Bentong, Temerloh, dan Bera.