PONTIAN - Seorang guru tadika rugi RM811,500 setelah menjadi mangsa penipuan pelaburan tidak wujud secara dalam talian.
Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Mohammad Shofee Tayib berkata, wanita terbabit membuat laporan polis pada Khamis setelah menyedari dirinya menjadi mangsa penipuan.
"Mangsa menyatakan telah tertarik dengan pelaburan yang diketahui melalui laman Facebook pada 25 Julai lalu.
"Tawaran keuntungan yang tinggi dan berkali ganda dengan kadar keuntungan lima sehingga 20 peratus berdasarkan jumlah dilaburkan membuatkan mangsa tertarik dan mula melabur pada Oktober lalu.
"Mangsa telah membuat beberapa bayaran modal sehingga RM811,500 ke dalam akaun yang diberikan oleh suspek," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Menurut beliau, mangsa hanya menyedari ditipu setelah wang modal dan komisen yang dijanjikan tidak dikembalikan.
Jelasnya, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Tambah Mohammad Shofee, walaupun pelbagai peringatan telah diberikan oleh Polis Diraja Malaysia ( PDRM ) kepada orang ramai mengenai bahaya pelaburan tidak wujud, namun masih ada yang percaya.
"Orang ramai diminta lebih cakna dan mengambil tahu mengenai perkembangan jenayah komersil bagi mengelakkan diri menjadi mangsa penipuan.
"Orang ramai boleh mendapatkan maklumat dan merujuk kepada pihak berkuasa sebelum membuat pelaburan di mana keuntungannya tidak ‘ masuk akal ‘ dalam beberapa minit sahaja," katanya.