MELAKA - Sukarelawan yang terkenal dengan jolokan 'Abang Viva', Azwan Omar, 32, bersimpati dengan penduduk-penduduk terjejas banjir yang kian memburuk terutama di pantai timur.
Anak bongsu daripada tiga beradik itu berkata, dia dalam proses untuk mengumpulkan dana sebelum bergerak menyertai misi membantu mangsa banjir dengan merancang untuk ke Kelantan dahulu.
Menurutnya, pada masa sama, sebelum bertolak memulakan misi bantuan itu, dia mahu menyambut ulang tahun kelahiran ibunya, Norbibah Hashim yang ke 69 tahun dan menetap di Taman Seri Pengkalan Indah, Alor Gajah pada Sabtu.
Katanya, ia sekali gus meminta restu dan doa ibunya supaya kerja-kerja sukarelawan yang dilakukan dipermudahkan ALLAH SWT.
"Bila mengetahui tentang banjir yang kian memburuk memang saya dah niat nak pergi membantu namun disebabkan kekangan kewangan saya masih lagi menunggu.
"Jika modal untuk tampung kos ke sana mencukupi, kalau hari ini juga cukup, hari ini saya akan terus pergi mungkin ditemani isteri," katanya kepada Sinar Harian di sini, pada Sabtu.
Azwan yang menamatkan zaman bujangnya pada Oktober 2022 juga berharap orang ramai dapat bersama menjayakan misinya dengan mengumpulkan modal menerusi Pertubuhan Gerakan Kebajikan Abang V-Va.
"Jika ada sesiapa yang nak turut serta membantu bagi mencukupkan keperluan boleh hubungi saya, tiada paksaan untuk mana-mana pihak," ujarnya.