SHAH ALAM - Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) mengadakan satu sesi libat urus bersama media bagi memberi kefahaman peranan yang dimainkan oleh kementerian itu.
Timbalan Perdana Menteri merangkap menterinya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, program itu adalah julung kali diadakan sejak PETRA diwujudkan.
"Sesi libat urus ini adalah platform untuk media mengenali dan memahami peranan dimainkan oleh PETRA bersama agensi-agensi yang bernaung di bawahnya.
"Sebab itulah kita adakan program ini dengan harapan para media turut dapat berkenalan dengan pihak pengurusan tertinggi PETRA,” katanya semasa program itu dijalankan di Cyberjaya pada Sabtu.
Hadir sama dalam sesi libat urus, Timbalan Menterinya, Akmal Nasrullah Mohd Nasir; Ketua Setiausahanya, Datuk Mad Zaidi Mohd Karli; Timbalan Ketua Setiausaha (Tenaga), Datuk Mohd Razif Mohd Mubin dan Timbalan Ketua Setiausaha (Air), Datuk Mohd Rodzwan Mohd Baba Sakri.
Turur hadir agensi di bawah PETRA iaitu Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA), Suruhanjaya Tenaga, Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK), Jabatan Pengairan dan Saliran, Institut Penyelidikan Air Kebangsaan Malaysia (NAHRIM), Jabatan Bekalan Air, Pengurusan Aset Air Berhad serta MyPower.