Bayi usia setahun lemas dalam rumah, korban ketiga banjir di Kelantan

Iklan
Mohd Yusoff (tengah) ketika sidang akhbar di Balai Polis Repek, Pasir Mas pada Sabtu.

PASIR MAS - [DIKEMAS KINI] Seorang bayi lelaki berusia setahun menjadi korban ketiga mangsa banjir di Kelantan apabila ditemukan lemas di Kampung Cherang Melintang, Chabang Empat, Tumpat pada Khamis.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, mangsa dipercayai lemas pada jam kira-kira 10.30 malam semasa semua ahli keluarga sedang nyenyak tidur.

Iklan
Iklan

"Siasatan awal mendapati ibu mangsa yang berusia 41 tahun tersedar dari tidur dan mendapati bayi lelakinya telah tiada di sini.

"Ibu terbabit telah memanggil nama anaknya serta mencari di dalam bilik tidur, tetapi gagal menemuinya," katanya ketika sidang akhbar di Balai Polis Repek, di sini pada Sabtu.

Iklan

Menurut beliau, wanita terbabit mendapati meja sofa yang digunakan untuk menahan tangga tingkat atas rumah dua tingkat itu telah terusik.

Ujarnya, dia melihat ke tingkat bawah rumah yang dinaiki air dan mendapati bayi lelakinya itu terapung di dalam banjir.

Iklan

Mohd Yusoff memberitahu, wanita berkenaan telah memanggil suaminya untuk memberikan bantuan kecemasan.

"Ibu tersebut kemudian meminta bantuan jiran membawa bayi lelaki terbabit ke jambatan Kubang Panjang menaiki perahu untuk ke Hospital Tumpat bagi mendapatkan rawatan kecemasan.

"Mangsa disahkan meninggalkan dunia pada jam 1.10 pagi oleh pegawai perubatan dan punca kematian adalah terjatuh di dalam air banjir di dalam rumah," katanya.

Terdahulu, dua lagi korban banjir melibatkan seorang lelaki berusia 35 tahun dari Pasir Puteh ditemukan lemas selepas terkena renjatan elektrik dan warga emas berusia 64 tahun di Machang.