PASIR MAS - [DIKEMAS KINI] Polis Kelantan mendedahkan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas menerima 107 panggilan palsu berkait banjir dalam sehari.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, ia berlaku pada Jumaat ketika semua pihak berkuasa sedang giat melakukan kerja-kerja menyelamat.
Iklan
Iklan
"Apabila kita hantar anggota untuk menyelamat, rumah pun tiada di kawasan yang diadukan itu.
"Bukan mudah buat kami (pasukan penyelamat) untuk tiba di lokasi bagi menghulurkan bantuan dan mengambil masa yang panjang.
"Kami menyifatkan perbuatan itu sebagai tindakan yang mendukacitakan selain membuang masa mereka yang bertugas," katanya semasa sidang akhbar di Balai Polis Repek di sini pada Sabtu.
Beliau mengingatkan semua pihak supaya tidak mengambil kesempatan dalam keadaan yang agak meruncing ini.
Ujarnya, susulan itu bermula Sabtu pihak polis mula membuat tapisan terhadap setiap panggilan diterima sebelum mengatur gerak petugas ke lokasi yang dilaporkan.