HULU TERENGGANU - Jenazah dua beradik yang meninggal dunia dalam kejadian tanah runtuh di Kampung Bukit Apit, Ajil di sini selamat dikebumikan jam 1 tengah hari pada Sabtu.
Jenazah Puteri Sajidah Azman, 16, dan adiknya, Siti Fatimah, 13, dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kampung Panggong, Ajil di sini.
Jenazah dua beradik itu tiba di pekarangan tanah perkuburan berkenaan jam 11.30 pagi selepas selesai solat jenazah di Masjid Kampung Bukit Apit yang dihadiri lebih 200 jemaah.
Terdahulu, jenazah kedua-dua mangsa dibawa pulang selepas selesai proses bedah siasat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu.
Solat jenazah diimamkan oleh Exco Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Terengganu, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi.
Hadir sama, Exco Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional Terengganu, Maliaman Kassim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil.
Sebelum ini Sinar Harian melaporkan tiga mangsa tertimbus dalam kejadian tanah runtuh yang menghempap sebuah rumah di Kampung Bukit Apit di sini kira-kira jam 4.30 petang Jumaat.
Mangsa pertama, Uzair Azman, 17, ditemui selamat di bawah runtuhan dinding konkrit di ruang tamu rumah, jam 5.17 petang.
Mayat Puteri Sajidah ditemui jam 6.32 petang dan adiknya, Siti Fatimah pula ditemui jam 6.59 petang, dalam keadaan tertimbus di bawah runtuhan.