KOTA BHARU - Pasukan Gerakan Udara (PGU), Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada Sabtu melakukan penerbangan ihsan membawa dua pesakit warga emas dan kanak-kanak mangsa banjir di Kampung Lubok Setol, Pasir Mas.
Pesawat Agusta AW139 yang membawa Bidah Deraman, 95, dan Syed Afnan Hanafi Syed Arifuddin, 2, diterbangkan oleh Kapten Mohd Fairuz Jamil bersama pembantu, Deputi Superintenden N Vitayataran.
Pesakit dipantau pegawai perubatan dari Hospital Raja Perempuan Zainab II, Dr Fadrul Hisyam Mohamed dan Operator Medivet Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pasir Mas, Leftenan Wan Abu Bakar Wan Omar.
Sementara itu, anak kepada Bidah, Fauziah Latif, 63, berkata, ibunya mengalami sesak nafas selain dipercayai patah di bahagian badan selepas terjatuh di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Balai Polis Lubok Setol.
Menurutnya, ketika kejadian pada Rabu, ibunya sedang berjalan untuk ke tandas dan tiba-tiba terjatuh kerana keadaannya yang sudah uzur.
"Mujur ketika itu ada yang membantu memberikan rawatan sebelum ibu dibawa menaiki helikopter ke hospital," katanya ketika ditemui selepas helikopter mendarat di Mes Batalion 8, Pasukan Gerakan Am (PGA) pada Sabtu.
Helikopter berkenaan mendarat pada jam 11.05 pagi dan tiba di Mes Batalion 8, PGA berkenaan pada jam 12.19 tengah hari sebelum dibawa ke HRPZ II oleh ambulans.
Fauziah bersyukur bantuan PDRM itu memudahkan ibunya meneruskan rawatan selepas banyak kawasan di Pasir Mas sudah dinaiki air.
Dalam pada itu, ibu kepada Afnan Hanafi iaitu Nurul Hazwani Abd Halim, 27, memberitahu, anaknya demam sejak Rabu dan diserang sawan.
"Ibu saya terpaksa berenang ke Balai Polis Lubok Setol untuk meminta bantuan. Kami tidak berpindah ke PPS tetapi kediaman terkepung berikutan banyak kawasan ditenggelami banjir," katanya.
Nurul Hazwani bimbang kesihatan anaknya semakin serius susulan ada sejarah penyakit darah tinggi dan dan selalu mengalami sakit kepala.
"Anak saya juga lebih kerap tidur pada waktu senja," katanya.